Utusan Borneo (Sarawak)

Dua lelaki curi penutup jendela gulung diberkas

-

Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian penutup jendela gulung di dua premis di Batu Kawa, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Superinten­den Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan pertama dibuat hasil laporan yang diterima daripada seorang pekerja premis berkenaan pada 25 Mei sekitar jam 8:30 pagi.

Menurutnya, pengadu memberitah­u penutup jendela gulung pada bahagian depan dan belakang premis hilang dan membabitka­n kerugian sekitar RM14,720.

“Berikutan itu, dua suspek berjaya dikesan iaitu lelaki berumur 33 dan 45 tahun menerusi dua tangkapan berasingan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Zainal berkata, tangkapan pertama dilakukan pada 26 Mei sekitar jam 11 malam di sebuah premis membeli barang lusuh di Jalan Kampung Sandong off Jalan Datuk Stephen Yong, di sini.

Dalam serbuan itu, polis menjumpai lima guni potongan aluminium dipercayai penutup jendela gulung di premis terbabit.

“Hasil siasatan mendapati tiada catatan berkenaan urusan jual beli aluminium dan seorang suspek iaitu penjaga premis berkenaan ditahan selepas gagal memberikan alasan munasabah atau memberi maklumat identiti penjual,” katanya.

Sementara itu, tangkapan kedua dilakukan pada hari yang sama pada jam 1:10 tengah hari di bilik sewa di sebuah pasar raya di Jalan Batu Kawa.

Jelasnya, hasil siasatan lanjut mendapati suspek pertama mengaku bahawa suspek tangkapan kedua adalah individu yang telah menjual lima guni kepingan aluminium tersebut kepadanya.

“Kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Kuching pada 27 Mei untuk siasatan selanjutny­a dan kes diklasifik­asikan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia