Utusan Borneo (Sarawak)

Sistem ombudsman bakal diperkenal­kan kerajaan Sarawak wajar diikuti negeri lain

-

KUCHING: CSO Platform for Reform menyokong penuh langkah kerajaan Sarawak menubuhkan sistem ombudsman.

Pengerusi CSO Platform for Reform Jerald Joseph dalam satu kenyataan semalam berkata, langkah tersebut diumumkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 23 Mei lalu.

“Kami amat menghargai langkah progresif ini. Di samping itu, kami juga berharap agar kerajaan-kerajaan negeri lain dan kerajaan persekutua­n dapat mengikuti langkah kerajaan Sarawak ini dengan melaksanak­an sistem ombudsman di peringkat kerajaan masing-masing,” ujarnya.

Pengenalan sistem ombudsman di Sarawak pastinya akan membawa manfaat yang sangat besar kepada rakyat, ujar beliau.

Sistem ombudsman tersebut katanya, akan bertindak sebagai sebuah badan bebas dalam memastikan sektor perkhidmat­an awam sentiasa telus dan mempunyai akauntabil­iti.

“Ia juga akan menjadi saluran kepada rakyat untuk membuat aduan terhadap salah laku atau kesalahan di dalam pentadbira­n perkhidmat­an awam.

“Oleh yang demikian, ombudsman akan dapat melindungi hak dan kepentinga­n rakyat.

“Sistem ombudsman juga penting untuk menambah baik kualiti perkhidmat­an awam.

“Ombudsman mempunyai kuasa untuk menyiasat segala salah laku yang dilakukan oleh perkhidmat­an awam dan penjawat awam.

“Melalui siasatan ini, mereka dapat mengenal pasti isu-isu sektor awam dan seterusnya boleh mencadangk­an penambahba­ikan kualiti penyampaia­n perkhidmat­an awam.

“Dengan ini, ia akan mengangkat semangat tadbir urus yang baik,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sistem ombudsman yang ingin ditubuhkan mestilah berteraska­n prinsip kebebasan, keadilan, kebertangg­ungjawaban dan ketelusan.

Jika prinsip-prinsip berkenaan dijadikan asas kepada ombudsman yang bakal ditubuhkan nanti, pastinya ia akan membawa kebaikan kepada rakyat Sarawak, kata Jerald.

“Kami berharap agar penubuhan ombudsman ini bukan sekadar simbolik dan tidak berfungsi, sebaliknya ia berfungsi seperti mana ombudsman seharusnya berfungsi,” jelas beliau.

CSO Platform for Reform percaya pengenalan sistem ombudsman di Sarawak sebagai satu tonggak utama dalam misi mewujudkan sebuah perkhidmat­an awam yang mempunyai tadbir urus baik, bertanggun­gjawab dan menyebelah­i rakyat.

“Kami yakin bahawa keputusan ini juga akan dijadikan sebagai satu contoh yang baik kepada kerajaan-kerajaan negeri yang lain dan kerajaan Malaysia untuk mereka menubuhkan ombudsman sendiri,” tegasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia