Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan negeri diseru kaji semula kenaikan bayaran pajakan tanah di Sungai Bidut

-

Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling menerima banyak aduan daripada pemilik tanah terutama dari Sungai Bidut berhubung kenaikan bayaran bagi memperbaha­rui pajakan tanah daripada RM200 seekar kepada RM2,500 seekar.

Menurut Ling, kenaikan 12 kali ganda itu satu beban yang berat kepada pemilik tanah yang mahu memperbaha­rui pajakan tanah milik mereka selepas tempoh pajakan selama 60 tahun tamat.

“Saya bangkitkan isu ini kerana ia amat membebanka­n rakyat terutama di Sungai Bidut. Dahulu kawasan ini dianggap kawasan tanah pertanian luar bandar, tetapi kini kerajaan negeri telah menukar status tanah ini kepada tanah pertanian separuh bandar (sub-urban).

“Jika dahulu untuk satu ekar, pemilik tanah hanya perlu membayar RM200. Tetapi kini (setelah ditukar status) ia telah naik kepada RM2,500 seekar, iaitu kenaikan 12 kali ganda,” ujarnya kepada pemberita semalam.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan negeri mengkaji semula kenaikan bayaran pajakan tanah terbabit kerana ia dianggap membebanka­n kebanyakan pemilik tanah.

“Ini sesuatu yang amat membebanka­n kerana kebanyakan keluarga di Sungai Bidut sememangny­a mempunyai tanah yang diwarisi dari orang tua dan kebanyakan mempunyai beberapa ekar tanah.

“Sebagai contoh, jika mereka mempunyai tiga ekar, dahulu mereka hanya perlu membayar RM600. Tapi kini mereka terpaksa bayar RM7,500. Ini memang terlalu banyak untuk mereka,” jelas Ling.

Naib Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak itu memberitah­u, ramai juga pemilik tanah yang tidak sedar akan perubahan status tanah mereka daripada tanah pertanian luar bandar kepada tanah pertanian separuh bandar (sub-urban).

Selain itu katanya, ramai juga yang tidak sedar akan kenaikan bayaran bagi memperbaha­rui pajakan tanah itu dan hanya tahu mengenainy­a apabila mereka hendak membuat bayaran.

“Apabila mereka membuat semakan, baru tahu status tanah telah ditukar daripada tanah luar bandar kepada tanah separuh bandar, di mana bayaran pajakan juga lebih tinggi,” ujar beliau.

Ling juga berpendapa­t kerajaan negeri sedar akan perkara tersebut dan berharap dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi meringanka­n beban pemilik tanah, lebih-lebih lagi ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu kini.

Dalam pada itu, beliau juga mengalu-alukan dasar baharu yang diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini yang membenarka­n lebih daripada satu struktur bangunan didirikan di atas tanah pertanian.

“Jika dahulu, hanya satu struktur bangunan dibenarkan didirikan di atas tanah pertanian. Tetapi kini boleh lebih dari satu bangunan. Ini memang satu perubahan yang baik dan kita alu-alukannya,” tambahnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia