Utusan Borneo (Sarawak)

Hari Gawai tanda kesyukuran selepas musim menuai padi

-

Hari Gawai Dayak merupakan hari perayaan masyarakat Dayak untuk memanjatka­n kesyukuran selepas musim menuai padi.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembanguna­n Bakat Datuk Francis Harden Hollis berkata, perayaan itu juga tanda masyarakat Dayak berterima kasih kepada Tuhan atas kelangsung­an hidup yang bertambah baik dan makmur dengan limpahan rezeki.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap pada Majlis PraGawai anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Lingga di Rumah Inchang Lagor, Kampung Skirau Ai, Lingga di sini kelmarin.

“Program ini juga antara lain mempamerka­n kostum tradisiona­l masyarakat Dayak Iban dengan perbezaan kostum antara etnik di seluruh negeri ini pelbagai warna.

“Di samping itu, sebagai platform kerjasama antara penduduk menjadi ahli jawatankua­sa pengelola,” jelasnya.

Harden berkata, perayaan Hari Gawai diraikan di Sarawak oleh suku kaum Dayak termasuk berada di negara jiran, Indonesia yang sangat rapat dan masih mempunyai pertalian keluarga kerana sejarah asal usul penghijrah­an.

“Melihat kepada aspek ekonomi, perayaan Hari Gawai merupakan tarikan pelancong luar negeri melihat perayaan suku kaum Dayak.

“Dengan kehadiran pelancong sudah pasti menjadi sumber pendapatan kepada negeri ini,” jelasnya.

Terdahulu ketika ucapan aluan pengerusi pengelola Waterkille­r James berkata, majlis itu merupakan platform bagi ahli-ahli SUPP Cawangan Lingga bertukar-tukar pendapat dengan masyarakat.

Turut hadir Penghulu Leonard Libau, Penghulu Komiti Manduh, Kaunselor Balean Suji Inggol, Kaunselor Wong Yii Hong, Kaunselor Munan Angkau, Kaunselor Micheal Pillow Lachen dan Kaunselor Magdalene Melayu.

Pada majlis tersebut, Harden meluluskan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung (JKKK) Rumah Inchang Lagor berjumlah RM10,000, manakala RM5,000 untuk Biro Wanitanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia