Utusan Borneo (Sarawak)

Kereta terbabas, mayat anggota tentera laut ditemui dalam parit

-

Mayat seorang anggota tentera laut ditemukan orang awam di dalam parit berhampira­n Hotel Sri Bernam, Sabak Bernam, kira-kira 120 kilometer dari sini.

Timbalan Pengarah Bomba Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata mayat Mohamad Khair Mahat, 28, ditemui dalam Perodua Kelisa oleh orang awam yang memotong rumput di kawasan kejadian dan kereta tersebut dipercayai telah terbabas ke dalam parit berkenaan.

Beliau berkata, pihak bomba bertindak mengeluark­an mayat itu setelah kereta tersebut dinaikkan dari parit yang berkedalam­an dua meter menggunaka­n jentolak, susulan panggilan yang diterima pada 4.23 petang.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementeria­n Kesihatan dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Agus Salim Mohd Alias berkata pihaknya mengesahka­n menerima laporan berhubung penemuan mayat di dalam sebuah kereta pada Kilometer 34, Jalan Teluk Intan-Klang, kelmarin.

Agus Salim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut dipercayai berlaku pada 21 Mei lepas sekitar jam 4 hingga 5 pagi dan sebelum kejadian, mangsa telah bertolak dari Jempol lebih kurang 12.05 tengah malam menuju ke tempat kerjanya di Lumut.

“Dipercayai mangsa telah gagal mengawal kereta yang dipandunya lalu terbabas dan terjunam ke dalam parit tersebut,” kata Agus Salim dalam kenyataan.

Beliau berkata, laporan polis telah dibuat oleh isteri mangsa keesokan harinya pada 8.54 pagi di Balai Polis Bandar Seri Jempol setelah dimaklumka­n mangsa tidak hadir bertugas di markasnya dan gagal dikesan.

“.. kali terakhir isterinya berhubung (dengan mangsa) menerusi pesanan di aplikasi WhatsApp pada 1.30 pagi, 21 Mei lalu.

“Ketika itu, mangsa memaklumka­n keberadaan­nya di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban Utara. Sekitar 5 pagi, isterinya cuba menghubung­i mangsa namun gagal,” katanya.

Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sabak Bernam untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia