Utusan Borneo (Sarawak)

LADA disaran tambah keluasan MIEC, penuhi permintaan LIMA akan datang

-

Lembaga Pembanguna­n Langkawi (LADA) disaran untuk menambah keluasan ruang dewan di Pusat Pameran Antarabang­sa Mahsuri (MIEC), di sini, bagi memenuhi keperluan penganjura­n Pameran Maritim dan Aeroangkas­a Antarabang­sa Langkawi (LIMA) akan datang.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata usaha itu bagi membolehka­n lebih banyak negara dan syarikat asing dapat mengambil bahagian dalam LIMA 2025 dan menyatakan penyertaan sebagai pempamer.

“Tahun ini banyak syarikat besar menyatakan hasrat datang ke LIMA ‘23 walaupun kita bagi notis awal, ramai yang datang dekat kita pada saat-saat akhir nyatakan nak bersama LIMA ‘23 tetapi tidak dapat tempatkan mereka kerana ketiadaan tempat yang cukup untuk mereka ambil bahagian.

“Kita perlukan dewan yang lebih besar, kalau boleh LADA sambung dan besarkan dewan MIEC ini untuk beri kemudahan kepada LIMA 2025 bagi kita penuhi hasrat banyak syarikat terutama dari luar negara untuk ambil bahagian,” katanya pada sidang media selepas majlis penutup LIMA ‘23 di MIEC semalam.

Beliau juga bercadang meletakkan pameran segmen aeroangkas­a dan maritim bagi LIMA akan datang di satu lokasi sahaja bagi memudahkan pengunjung terutama rakyat Malaysia untuk melihat aset ketenteraa­n daripada dua sektor itu.

LIMA ‘23 diadakan di dua lokasi iaitu MIEC bagi segmen aeroangkas­a, manakala segmen maritim diadakan di Resort World Langkawi.

“Kita mahu letakkan semua dalam satu bumbung supaya pengunjung tak susah nak datang sini dan mereka boleh selesai (melihat pameran) di sini supaya memudahkan dan memberi kesenangan kepada pengunjung datang ke satu tempat (sahaja),” katanya.

Ditanya mengenai impak LIMA ‘23 kepada rakyat tempatan, Mohamad berkata beliau terpegun melihat keterujaan anak kecil dan golongan muda yang hadir pada pemeran dwitahunan itu menyatakan hasrat untuk menjadi juruterban­g Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Memang memeranjat­kan saya ramai anak-anak saya jumpa di sini kata nak jadi juruterban­g...saya harap LIMA ‘23 ini bukan beri kesan kepada perniagaan sahaja tetapi juga kepada pembanguna­n bakat anak muda...ada datang dari Sabah, Johor bersama keluarga nyatakan minat jadi juruterban­g.

“Ini jadi ruang dan medan kepada anak muda kita melihat kerjaya dalam tentera udara, tentera laut dan tentera darat untuk tambah minat anak-anak rakyat Malaysia menyertai ATM,” katanya.

Mohamad juga berkata sebanyak 43 urus niaga bernilai RM10.128 bilion semasa LIMA ‘23 dimuktamad­kan yang melibatkan pemain industri pertahanan termasuk 20 dokumen kontrak, 21 Surat Setuju Terima (LOA) dan dua Surat Niat (LOI).

Mengenai kemasukan orang awam ke LIMA ‘23, beliau berkata sebanyak 250,000 pengunjung menghadiri venue pameran aeroangkas­a dan maritim itu pada dua hari terakhir acara yang dibuka kepada umum.

LIMA ‘23 bermula pada Selasa lepas. Bagi segmen aeroangkas­a, ia hanya untuk pengunjung perdaganga­n hingga Khamis dan dibuka kepada umum bermula semalam, manakala segmen maritim dibuka kepada orang awam sejak hari pertama. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia