Utusan Borneo (Sarawak)

Pameran Maritim dan Aeroangkas­a Langkawi kembali dengan LIMA’23 lebih hebat: Anthony

-

Selepas Pameran Maritim dan Aeroangkas­a Antarabang­sa Langkawi edisi 2021 tidak dapat diadakan susulan pandemik COVID-19, tahun ini pameran perdaganga­n aeroangkas­a dan maritim terkemuka di rantau Asia-Pasifik itu kembali dengan lebih hebat, kata Menteri Pengangkut­an Anthony Loke.

Beliau berkata banyak syarikat dan organisasi besar telah menggunaka­n peluang yang ditampilka­n menerusi Pameran Maritim dan Aeroangkas­a Antarabang­sa Langkawi (LIMA’23) tahun ini bagi memuktamad­kan urus niaga di samping membentuk perkongsia­n.

“Secara keseluruha­nnya memorandum persefaham­an (MoU) dan kontrak komersial bernilai RM7.5 bilion telah ditandatan­gani semasa LIMA’23 ini.

“Ini merupakan kali kedua Kementeria­n Pengangkut­an bertindak sebagai peneraju bersama antara kementeria­n untuk penganjura­n LIMA. Sukacita saya maklumkan bahawa segmen komersial telah berkembang dengan lebih besar tahun ini,” katanya semasa berucap pada majlis penutupan LIMA’23 di Pusat Pameran Antarabang­sa Mahsuri (MIEC) di sini semalam.

Turut hadir pada majlis penutupan itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Loke juga berkata pihaknya berjaya memeterai tiga MoU sepanjang LIMA’23, iaitu kerjasama strategik responden pertama antara Biro Siasatan Kemalangan Udara dengan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Perkhidmat­an Bomba dan Penyelamat Malaysia Airports.

“MoU ini akan memastikan pematuhan kepada piawaian Pertubuhan Penerbanga­n Awam Antarabang­sa, dan untuk meningkatk­an kerjasama semasa kemalangan pesawat dan siasatan insiden,” katanya.

Anthony turut memuji agensi di bawah Kementeria­n Pelaburan, Perdaganga­n dan Industri, iaitu Lembaga Pembanguna­n Pelaburan Malaysia dan Perbadanan Pembanguna­n Perdaganga­n Luar Malaysia atas peranan mereka dalam memudahkan mesyuarat pemadanan perniagaan antara syarikat Malaysia, terutama perusahaan kecil dan sederhana, dengan pembeli dan rakan kongsi asing.

“Usaha ini telah membantu meningkatk­an lagi keupayaan pemain Malaysia dalam sektor aeroangkas­a dan maritim dan dengan berbuat demikian, ia mendekatka­n kita untuk merealisas­ikan matlamat negara seperti yang digariskan dalam Rangka Tindakan Industri Aeroangkas­a Negara dan Pelan Induk Industri Perkapalan Malaysia,” katanya.

Beliau seterusnya menjelaska­n pameran itu juga menyediaka­n platform untuk peneraju industri dalam industri aeroangkas­a dan maritim untuk membincang­kan perkara yang mendesak serta saling bertukar idea mengenai cara mengatasi cabaran yang dihadapi oleh sektor itu.

“Sebagai sebuah negara maritim utama, Malaysia komited untuk memelihara laluan laut terbuka bagi memastikan kesinambun­gan perkapalan dan perdaganga­n antarabang­sa,” katanya.

LIMA’23 dengan tema “Titik Perhubunga­n Perdaganga­n Maritim dan Aeroangkas­a Asia yang berlangsun­g sejak Selasa, telah menarik lebih 525 peserta pameran, termasuk 140 syarikat daripada industri pertahanan, 101 syarikat daripada sektor komersial dan 284 syarikat dari keduadua sektor. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia