Utusan Borneo (Sarawak)

Warga Indonesia kendali mesin judi dalam talian dipenjara tiga bulan

-

Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah mengendali­kan mesin perjudian dalam talian, awal Mei lalu.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintah­kan hukuman penjara ke atas tertuduh, Affendi Manurung, 28, dikuatkuas­akan mulai tarikh dia ditangkap.

Tertuduh didakwa mengikutSe­ksyen4B(a)Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 bagi setiap mesin judi dirampas dan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi lima tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 11 Mei lalu, sekitar jam 11 pagi semasa berada di sebuah kedai makan di Jalan Semarak, Kampung Laruh Skim di sini.

Berdasarka­n fakta kes, sepasukan polis melakukan serbuan di kedai makan tersebut dan menangkap tertuduh yang disyaki menjalanka­n aktiviti perjudian dalam talian menggunaka­n sebuah telefon pintar.

Semasa serbuan, polis turut merampas wang tunai RM210 dan sebuah telefon pintar yang kemudianny­a disahkan sebagai mesin judi oleh pakar judi. Hasil pemeriksaa­n mendapati tertuduh duduk di kaunter kedai dan disyaki menjalanka­n penjualan tambah nilai kredit judi dalam talian di dalam premis berkenaan.

Dalam pada itu semasa tangkapan dilakukan, polis turut mendapati tertuduh gagal mengemukak­an dokumen perjalanan sah daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan telah masuk ke Malaysia tanpa sebarang dokumen sah.

Siasatan lanjut juga mendapati semakan di JIM tidak memaparkan sebarang rekod maklumat pergerakan keluar mahupun masuk membabitka­n tertuduh.

Oleh itu, tertuduh juga didakwa di Mahkamah Seksyen semalam kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh disebat maksimum enam sebatan.

Tertuduh mengaku bersalah di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman yang kemudianny­a menjatuhka­n hukuman penjara empat bulan terhadap tertuduh, berkuat kuasa dari tarikh tangkap (11 Mei 2023), selain mengenakan satu sebatan.

Afidah juga memerintah­kan tertuduh dirujuk ke JIM untuk tindakan selanjutny­a selesai menjalani hukuman.

Pendakwaan bagi keduadua kes dilakukan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Iezzah Iburdanish­a Ibrahim dan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia