Utusan Borneo (Sarawak)

Lesen pengendali dua syarikat bas ekspres digantung berkuat kuasa 12 Jun ini

- — Bernama

PUTRAJAYA: Lesen pengendali dua syarikat bas ekspres yang terlibat dalam insiden kemalangan pada 12 dan 13 Mei lepas, S.V Juta Sdn Bhd dan Syarikat Kejora Masyhur Sdn Bhd, digantung berkuat kuasa 12 Jun ini, kata Kementeria­n Pengangkut­an (MOT).

MOT dalam kenyataan semalam berkata penggantun­gan lesen pengendali itu dibuat Agensi Pengangkut­an Awam Darat (APAD) melalui Jawatankua­sa Pembatalan dan Penggantun­gan Lesen (JPPL) selepas siasatan dijalankan terhadap insiden kemalangan membabitka­n bas ekspres syarikat itu.

S.V Juta digantung lesen pengendali selama 58 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat berkanun lesen Akta Pengangkut­an Awam Darat 2010 [Akta 715], kesalahan berulang dan pemanduan secara berbahaya.

Kejora Masyhur pula digantung selama 37 hari atas kesalahan gagal mematuhi syarat lesen iaitu keperluan keselamata­n seperti yang tersenarai di bawah Pemeriksaa­n dan Audit Keselamata­n Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ).

“Sepanjang tempoh penggantun­gan, sebarang transaksi berhubung dengan lesen pengendali bagi kedua-dua syarikat tidak akan dibenarkan,” menurut kenyataan itu.

Pada 12 Mei lepas, bas ekspres Starmart Express di bawah syarikat S.V Juta berlanggar dengan 12 kenderaan lain di Kilometer 256.8 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), manakala pada 13 Mei pula bas ekspres TRA Xpress di bawah syarikat Kejora Masyhur berlanggar dengan dua lori di Kilometer 257.8 Plus arah selatan.

MOT berkata hasil siasatan APAD juga mendapati keduadua syarikat tidak mematuhi keperluan syarat berkanun lesen yang telah ditetapkan, manakala semakan dengan agensi berkaitan mendapati kedua-dua syarikat itu mempunyai rekod saman lampau yang tinggi.

“Tindakan yang dikenakan ke atas kedua syarikat pengendali ini diharap menjadi pengajaran dan peringatan kepada lain-lain pengendali untuk sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan semasa beroperasi terutama perkara yang melibatkan hal-hal keselamata­n,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia