Utusan Borneo (Sarawak)

JAINJ pastikan pesta seks bebas tidak akan berlaku di Johor

-

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) semalam memberi jaminan bahawa penganjura­n pesta seks bebas tidak akan berlaku di mana-mana lokasi di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankua­sa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasam­a rapat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor dalam memastikan kegiatan tidak bermoral ini dapat dikekang.

Mohd Fared berkata meskipun akaun Twitter yang mempromosi­kan aktiviti tidak bermoral itu sudah ditutup, namun pihaknya akan terus memantau dan meneliti laman media sosial yang telah dikenal pasti turut terbabit.

“Apa juga tarikh yang dia buat ataupun tempat mana yang akan diubah, JAINJ bersama-sama PDRM Johor serius dalam memastikan perkara seumpama ini tidak akan berlangsun­g.

“Setakat ini, tiada ada lagi pesta seks lain dilaporkan, walau apapun perancanga­n pihak penganjur itu, kita akan tetap pastikan dia tidak boleh dilaksanak­an, itu komitmen kita,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengisytih­aran Keputusan Peperiksaa­n Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini semalam.

Sehubungan itu, Mohd Fared menggesa agar semua pihak segera melaporkan kepada PDRM atau JAINJ sekiranya mendapat maklumat berhubung kegiatan tidak bermoral tersebut.

“Kita kena sama-sama mencegah. Benarkan polis buat kerja dan siasatan mereka, orang awam jadilah mata, kepala dan telinga kepada pihak berkuasa negeri dan polis, laporkan dan jangan bersubahat.

“Identiti (penganjur) telah pun diketahui, maka sembunyila­h dekat mana sekali pun, kita akan tahu dan anda sedang diperhatik­an.Terima kasih saya ucapkan kepada kehebatan PDRM kita yang dapat mengesan individu terbabit,” katanya lagi.

Sebelum ini, tular poster berupa kad jemputan di sebuah akaun Twitter mengenai satu penganjura­n pesta seks bebas di bandar raya ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia