Utusan Borneo (Sarawak)

Wanita warga emas ditahan disyaki tipu skim pelaburan

-

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang wanita kerana disyaki terlibat dalam penipuan skim pelaburan yang menggunaka­n nama sebuah bank antarabang­sa, pada 25 Mei lepas.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata suspek yang merupakan warga emas berusia 60 tahun berkenaan merupakan suspek utama bagi kes ini.

Beliau berkata PDRM juga menerima dua laporan polis berhubung kes ini.

“Berdasarka­n siasatan, skim pelaburan ini mula beroperasi sejak awal tahun 2023 dan menawarkan pulangan sebanyak 30 peratus hingga 70 peratus daripada modal pelaburan yang dikeluarka­n.

“Skim pelaburan ini turut menawarkan slot-slot saham yang menjanjika­n keuntungan sehingga 100 peratus dalam tempoh 72 jam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Noorsiah berkata walau bagaimanap­un, setelah mangsa membuat pindahan wang, keuntungan yang dijanjikan tidak dibayar.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu manakala suspek direman selama lima hari bermula 26 Mei hinggan esok di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

“Hasil semakan mendapati suspek juga mempunyai rekod lampau berkait dua kes penipuan pelaburan berkaitan penjualan minyak diesel.

Orang ramai yang mungkin menjadi mangsa skim pelaburan ini diminta tampil segera membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampira­n,” katanya.

Beliau berkata PDRM menasihatk­an orang ramai agar sentiasa berwaspada dan sentiasa membuat semakan secara terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan yang menjanjika­n keuntungan lumayan.

“Orang ramai juga diminta mendapatka­n maklumat lanjut daripada sumbersumb­er rasmi seperti portal semak mule, ‘alert list’ Bank Negara Malaysia dan Suruhanjay­a Sekuriti sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia