Utusan Borneo (Sarawak)

CelcomDigi mulakan program berskala penuh bina rangkaian digital masa depan

-

CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) telah memulakan program berskala penuh untuk membina rangkaian digital masa depan Malaysia bagi mengintegr­asi dan memodenkan rangkaian 4G terbesar di Malaysia dengan teknologi-teknologi LTE dan sedia-5G yang terkini.

Menurut satu kenyataan kelmarin, ia merupakan antara projek pelancaran rangkaian terbesar di negara yang melibatkan sejumlah 18,000 tapak, susulan penggabung­an Celcom dan Digi pada awal Disember 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Idham Nawawi berkata rangkaian baharu yang bersepadu dan dipermoden ini merealisas­ikan kelebihan serta kekuatan penggabung­an antara Celcom dan Digi.

“Kami menggambar­kan untuk memulakan projek membina rangkaian digital yang paling besar dan moden dengan menggunaka­n teknologi telekomuni­kasi mudah alih yang terkini di negara.

“Kami telah berjaya melancarka­n projek rintis di lima kluster baru-baru ini, iaitu di Sitiawan, Rawang, Bercham, Port Dickson dan Kuantan. Kami berbesar hati melaporkan bahawa usaha naik taraf berkenaan telah diuruskan tanpa sebarang gangguan terhadap pengalaman pelanggan,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Tambah beliau juga, pihaknya komited untuk membina rangkaian lebih pantas dan kukuh bagi menawarkan rakyat Malaysia pengalaman digital tiada bandingan, yang berlandask­an piawaian kesalinghu­bungan, kelajuan, kebolehper­cayaan dan kestabilan yang tinggi.

“Bersama-sama tawaran produk meluas, kami berharap dapat mengupayak­an pelanggan dengan kombinasi pilihan, nilai dan pengalaman rangkaian terbaik dan memperkasa­kan kehidupan mereka yang semakin menjurus kepada digital,” jelas beliau lagi.

Rangkaian digital baharu ini dibina atas dua rangkaian sedia ada yang kukuh, dengan gabungan jejak 96.4 peratus untuk 4G LTE dan 90.3 peratus untuk 4G LTE-A.

Kedua-dua rangkaian merupakan rangkaian yang menerima paling banyak penganuger­ahan dalam laporan industri Opensignal yang terbaharu – Malaysia: Laporan Pengalaman Rangkaian Mudah Alih Mac 2023 dan berjaya merangkul 11 tempat pertama secara gabungan dalam 15 kategori yang dianalisis oleh laporan itu.

“Rangkaian baharu ini juga direka bentuk agar mampu beralih secara lancar ke rangkaian 5G baharu dengan capaian 18,000 tapak – infrastruk­tur yang betul untuk membimbing Malaysia ke era kelajuan ultra tinggi, kependaman rendah dan pelbagai peluang dalam satu masa depan lebih tersambung.

“Ini merupakan satu perkembang­an penting untuk CelcomDigi dan negara. Kami amat gembira untuk menjadi peneraju merealisas­ikan potensi masa depan digital kita yang dikongsi bersama,” tambah Idham.

Maklumat lanjut usaha integrasi dan pemodenan rangkaian akan dikongsi dalam masa terdekat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia