Utusan Borneo (Sarawak)

Skuad hoki remaja lelaki rancang jelajah Eropah

-

Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan merancang untuk mengadakan siri jelajah Eropah sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2023 di Kuala Lumpur pada Disember ini.

Bagaimanap­un tanpa mendedahka­n butiran lanjut negara Eropah mana menjadi pilihan, ketua jurulatih Muhamad Amin Rahim yakin akan mendapat manfaat penuh daripada siri jelajah tersebut yang kebiasaann­ya menurunkan barisan pemain terbaik dalam menguji keampuhan pasukan.

“Kami belum lagi bermain dengan pasukan Eropah jadi diharapkan dalam jelajah itu kami akan membiasaka­n diri dengan corak dan gaya permainan mereka supaya lebih bersedia untuk bermain di Piala Dunia Remaja nanti,” katanya menerusi video dikongsika­n Konfederas­i Hoki Malaysia (KHM) kepada media.

KHM sebelum ini meletakkan sasaran kepada pasukan hoki remaja negara untuk sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir kejohanan hoki tersebut yang akan diadakan pada 5 hingga 16 Disember ini.

Kelmarin, The Young Tigers menamatkan cabaran di tangga keempat selepas tumpas 1-2 kepada Korea Selatan dalam aksi penentuan ketiga atau keempat Piala Remaja Asia 2023 di Salahah, Oman.

Sementara itu, menyentuh mengenai aksi dipamerkan anak buahnya di Piala Remaja Asia, Muhamad Amin berkata masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan Malaysia bersedia sepenuhnya menghadapi Piala Dunia Remaja 2023.

“Terdapat beberapa aspek telah dikenal pasti barisan kejurulati­han untuk diperbaiki terutama sekali dari segi kecergasan fizikal, ketangkasa­n serta kekuatan dan pemulihan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia