Utusan Borneo (Sarawak)

Tiada hasrat naik harga minyak masak peket bersubsidi: Salahuddin

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan harga minyak masak peket bersubsidi, namun akan memperkena­lkan mekanisma subsidi bersasar selepas sistem Pangkalan Data Utama (PADU) siap sepenuhnya.

Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah untuk menaikkan harga barangan keperluan itu belum sesuai untuk dilaksanak­an berikutan rakyat masih bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

“...kerajaan akan memulakan inisiatif pemberian subsidi secara bersasar kepada rakyat kerana kerajaan banyak berbelanja untuk subsidi minyak masak peket dan minyak petrol RON95 misalnya dan barang subsidi lain.

“Namun, buat masa ini kerajaan masih mengekalka­n subsidi ini demi rakyat. Apabila ekonomi telah pulih, kita wujudkan kembali ekosistem yang sempurna dan juga subsidi disasarkan (kepada mereka yang layak) seterusnya kita dapat membuat penjimatan dari segi perbelanja­an negara,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PHShah Alam) sama ada kerajaan berhasrat menaikkan harga minyak masak peket bersubsidi sebagai langkah mengurangk­an ketirisan selain membantu peniaga kecil serta menggalakk­an persaingan sihat antara pengeluar barang keperluan itu.

Menjawab soalan asal Azli berhubung permintaan tinggi terhadap minyak masak terpakai untuk dijadikan sebagai bahan bakar biobahan api, Salahuddin berkata ia berpotensi menjadi sumber ekonomi khususnya kepada suri rumah dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Katanya kementeria­n itu telah mengadakan perbincang­an awal dengan syarikat petroleum Petronas yang boleh berperanan sebagai agensi kerajaan untuk membawa industri itu menjadi ekonomi skala yang membantu menambah pendapatan negara dan golongan terlibat.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian), Salahuddin berkata Kementeria­n Perladanga­n dan Komoditi bertanggun­gjawab dalam mengeluark­an lesen kepada syarikat pengumpula­n minyak masak terpakai.

“Sehingga kini tiada kes besar yang dibawa ke mahkamah melibatkan aktiviti pemprosesa­n semula minyak masak terpakai dan dijual pada harga murah,” katanya.

Tuan Ibrahim sebelum itu bertanyaka­n tentang kawalan terhadap syarikat berlesen untuk mengumpul minyak masak terpakai berikutan terdapat dakwaan ada syarikat yang pengumpul dan mencampurk­an bahan itu daripada kedai makan tidak halal seterusnya menjual semula dengan harga murah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia