Utusan Borneo (Sarawak)

Pendidikan perkara paling asas jamin kehidupan masa depan, kata Huang

-

Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Dato Sri Huang Tiong Sii berkata pendidikan adalah perkara paling asas untuk menjamin kehidupan pada masa akan datang.

Menurutnya, memandang serius perkara itu, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk memastikan misi dan matlamat melahirkan modal insan berkualiti tercapai.

“Kerjasama dan kesepakata­n dalam memajukan bidang pendidikan akan menjadi lebih mudah jika semua pihak tahu dan sedar tanggungja­wab masing-masing dalam menentukan hala tuju pendidikan anak-anak generasi masa kini kerana pada masa ini, perspektif bidang pendidikan jauh berbeza jika dibandingk­an dengan 10 tahun lepas.

“Namun bagi para pelajar yang kurang menyerlah dalam bidang akademik, kita berharap mereka tidak mudah putus asa dan lemah semangat kerana pada masa kini mereka boleh dan digalakkan untuk melanjutka­n pendidikan dalam bidang teknikal dan institusi kemahiran.

“Pihak kita akan sentiasa berdiri teguh dan memastikan para pelajar kita tidak ketinggala­n atau tercicir dan pendidikan terus menjadi agenda utama perjuangan kita sebagai wakil rakyat di kawasan ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis ringkas penyerahan bantuan persekolah­an di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Sarikei yang diwakili oleh Kapitan Ling Dien Yong kelmarin.

Pada majlis itu, seramai 840 pelajar dari tingkatan peralihan hingga tingkatan empat menerima sepasang kasut daripada Huang yang juga merupakan Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.

Huang berharap sumbangan itu dapat meringanka­n sedikit sebanyak beban dan menampung keperluan para pelajar di sekolah itu.

“Bagi para pelajar yang sudah mendapat keputusan masing-masing dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),

kita berharap mereka tabah dengan keputusan yang telah mereka perolehi.

“Tahniah kepada yang berjaya, manakala teruskan usaha dan jangan putus asa bagi yang mendapat keputusan kurang memuaskan kerana kegagalan kali ini bukan kegagalan buat selamanya, sebaliknya jadikan ia sebagai penguat semangat untuk kita terus berjuang pada masa akan datang.

“Kepada para ibu bapa pelajar pula, usahakan yang terbaik untuk anak-anak kita dan terus beri semangat kepada mereka,” ujar Huang lagi.

Turut hadir ialah Pengetua SMK Tinggi Sarikei Wong Ling Jiong, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Dr Chieng King Chong dan Penghulu Huang Tiong Kang.

 ?? ?? KASUT BAHARU: Sebahagian daripada pelajar SMK Tinggi Sarikei sedang mencuba sepasang kasut sumbangan Huang.
KASUT BAHARU: Sebahagian daripada pelajar SMK Tinggi Sarikei sedang mencuba sepasang kasut sumbangan Huang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia