Utusan Borneo (Sarawak)

Pengusaha taska rugi lebih RM1 juta terperdaya pelaburan tidak wujud

- — Bernama

Seorang pengusaha taska di Bukit Piatu di sini mendakwa kerugian RM1.06 juta selepas terperdaya dengan ajakan lelaki yang dikenaliny­a menerusi Instagram dalam tempoh kurang dua minggu, untuk melabur dalam pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, wanita berusia 53 tahun itu berkenalan dengan lelaki berkenaan apabila akaun Instagram itu ‘ditag’ oleh akaun Tan Sau Fung didakwa lelaki Taiwan yang kononnya menetap di Jepun, pada 27 April lepas.

“Sejak berkenalan, pengadu sering berhubung dengan suspek melalui talian LINE dan berkomunik­asi secara lisan serta SMS sebelum hubungan mereka menjadi rapat dalam tempoh yang singkat.

“Pada 7 Mei lepas, suspek telah menawarkan mangsa supaya melabur dengan membeli barang yang kononnya dari Amerika Syarikat menerusi laman sesawang https:// everything­mallx.cc/,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, mangsa dikehendak­i membeli dahulu barang yang hendak dibeli pelanggan sebelum menjual semula untuk mendapat keuntungan sebanyak 10 peratus bagi setiap barang tersebut.

Zainol berkata, akibat terlalu mempercaya­i suspek, wanita berkenaan telah melakukan 28 transaksi bayaran secara berperingk­at ke dalam enam akaun berbeza berjumlah RM1.06 juta dalam tempoh 7 hingga 30 Mei lepas.

Beliau berkata, pada 30 Mei lepas juga, mangsa telah menyemak komisen yang diperolehn­ya di laman sesawang berkenaan mencecah jumlah US$200,000, namun dia mula curiga dan sedar ditipu apabila diarah membuat bayaran tambahan bagi mengeluark­an komisen tersebut.

Menurut Zainol pada keesokan hari, mangsa cuba mengakses laman sesawang berkenaan namun tidak boleh diakses dan akaun Instagram suspek juga telah ditutup.

“Justeru, mangsa membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh pada Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia