Program baharu Curtin selari inisiatif tenaga hijau
Sarjana Muda Kejuruteraan Tenaga persiap tenaga kerja profesional tempatan mencukupi bagi memajukan industri ini
MIRI: Penawaran program baharu Sarjana Muda Kejuruteraan Tenaga oleh Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) adalah selari dengan strategi Kerajaan Sarawak dalam mempelopori inisiatif tenaga hijau di wilayah ini.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, penawaran program baharu ini dapat mempersiapkan tenaga kerja profesional tempatan yang mencukupi bagi memajukan industri ini kelak.
“Sebelum kita memulakan sebarang inisiatif tenaga hijau, adalah penting bagi Sarawak mempersiapkan tenaga kerja profesional yang mencukupi.
“Mereka yang dilatih melalui program ini kelak dapat bekerja di loji CCUS (Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon), hidrogen, hidro, solar terapung, mikroalga dan biofuel,” katanya ketika ucaptama
pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Tenaga Hijau, Pengkomputeran dan Teknologi Mampan (GECOST) 2024 di Dewan Kuliah Fakulti Kejuruteraan dan Sains Curtin Malaysia di sini, semalam.
Selain itu beliau berkata, Sarawak berada dalam landasan yang betul di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri
Abang Johari Tun Openg apabila mempunyai idea, visi dan komitmen untuk menyumbang ke arah mitigasi perubahan iklim.
“Keputusan yang sangat penting beberapa tahun lalu oleh Premier bukan sahaja untuk menyumbang ke arah mitigasi perubahan iklim tetapi juga ia mencipta pendapatan baharu, ekonomi baharu dan untuk meningkatkan mata hasil pencarian (Sarawak),” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Dr Hazland turut melancarkan dua program baharu yang bakal ditawarkan di Curtin Malaysia iaitu Sarjana Muda Kejuruteraan Tenaga dan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik.
Sementara itu, Pro Naib Canselor, Presiden dan Ketua Eksekutif Curtin Malaysia Profesor Simon Leunig berkata, kedua-dua program baharu ini telah menerima akreditasi sementara daripada Majlis Akreditasi Kejuruteraan sebagai ijazah kejuruteraan yang diiktiraf industri untuk ditawarkan di Curtin Malaysia.
“Akreditasi ini menekankan kepentingan mereka kepada pendidikan kejuruteraan dan bidang kejuruteraan di Malaysia dan komitmen kami (Curtin Malaysia) untuk memajukan pendidikan dan penyelidikan dalam bidang yang penting untuk masa depan yang mampan,” katanya menerusi teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Timbalan Pro Naib Canselor Profesor Dr Vincent Lee.
Dalam pada itu, mengenai persidangan tersebut, Simon memberitahu bahawa ia merupakan peluang kepada peserta untuk bertukar-tukar idea, memupuk kerjasama dan membuka jalan bagi penyelesaian inovatif dalam domain kritikal tenaga hijau, pengkomputeran dan teknologi mampan.
“Pertumbuhan teknoindustri yang pesat dan perubahan gaya hidup yang memerlukan penggunaan tenaga yang lebih besar secara global, keadaan yang diburukkan lagi oleh kehabisan sumber asli yang berterusan dan pelepasan karbon yang tinggi, memerlukan pendekatan baharu untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat.
“Oleh itu, pakar, jurutera dan penyelidik dalam bidang akademik, pusat penyelidikan dan industri di seluruh dunia perlu berkumpul untuk membincangkan dalam persidangan seperti ini, berkongsi idea dan bekerjasama untuk mendapatkan sumber tenaga hijau dan bersih serta mencipta teknologi tenaga mampan yang lebih dipercayai dan cekap untuk abad ke-21.
“Memandangkan dunia mencari pendekatan inovatif untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga hijau dan bersih, saya yakin persidangan ini akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan bidang ini,” katanya.
Pada majlis sama, turut diadakan adalah majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk kerjasama yang meluas dalam bidang akademik, penyelidikan, penglibatan alumni, program pertukaran, inkubasi permulaan, biasiswa dan banyak lagi.
Hadir sama Ketua Pegawai Digital, Teknologi Maklumat dan Komunikasi SEB Sim Ko Sin, Dekan Pejabat Penyelidikan dan Pembangunan Profesor Dr Ramasamy Nagarajan, Dekan Pejabat Pembelajaran dan Pengajaran Profesor Dr Tang Fu Ee, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Sains Profesor Dr Tuong Thuy Vu dan Timbalan Dekan Penglibatan Luar Fakulti Kejuruteraan dan Sains Profesor Madya Dr Lim Chye Ing.
Sebelum kita memulakan sebarang inisiatif tenaga hijau, adalah penting bagi Sarawak mempersiapkan tenaga kerja profesional yang mencukupi.
Datuk Dr Hazland Abang Hipni Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar