Ubat dihantar ketika rejim terus bedil selatan Gaza
SEMENANJUNG GAZA: Penghantaran ubat-ubatan bagi orang awam Palestin dan tebusan Israel dijangka tiba di Gaza semalam di bawah rundingan yang dijalankan Qatar dan Perancis, tatkala rejim meneruskan kempen pengebomannya di bahagian selatan wilayah terkepung itu.
Hamas melarikan 250 tebusan semasa serangan 7 Oktober lalu dan kira-kira 132 daripadanya masih ditahan di Gaza, 27 daripadanya telah terbunuh dalam serangan dan pengeboman rejim di wilayah tersebut.
Dalam satu kenyataan kepada agensi berita rasmi Qatar (QNA), Doha kelmarin mengumumkan perjanjian di atara rejim Israel dan Hamas di mana ubat-ubatan dan bantuan kemanusiaan lain akan dihantar kepada orang awam di Gaza sebagai pertukaran kepada penghantaran ubat-ubatan kepada tebusan terbabit.
Jurucakap kementerian
luar Qatar Majid Al-Ansari memberitahu QNA penghantaran itu akan dibuat dari Doha semalam ke bandar Mesir El-Arish sebelum sampai ke Semenanjung Gaza.
Sejumlah 45 tebusan dijangka menerima ubat-ubatan di bawah perjanjian itu, menurut pejabat presiden Perancis.
Selepas ubat-ubatan itu tiba di sebuah hospital di bandar sempadan selatan Rafah semalam katanya, ia akan diterima oleh Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) untuk dibahagikan dan dihantar serta-merta kepada para tebusan.
Kementerian kesihatan Gaza melaporkan awal semalam bahawa 81 orang lagi terbunuh dalam serangan rejim sepanjang malam kelmarin termasuk di bandar selatan utama Khan Younis.
Setakat ini sekurangkurangnya 24,285 penduduk Palestin, 70 peratus daripadanya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh di Gaza dalam serangan udara dan darat oleh rejim Israel, menurut kementerian terbabit.
Sejurus sebelum tengah malam semalam, saksi melaporkan serangan udara menyasari Hospital Nasser di Khan Younis yang menempatkan ribuan penduduk yang berlindung setelah diarah melarikan diri dari bahagian utara Gaza.
“Kamu dapat melihat sendiri kemusnahan ini.
“Bilik ini didiami orang ramai dan yang ini didiami oleh 20 kanak-kanak, wanita dan lelaki, dan begitulah keadaannya rumah-rumah lain di kem ini,” kata penduduk Mohamad Ramadan sambil menunjukkan sebuah rumah yang musnah dibom di mana beberapa orang telah terbunuh.
“Mereka masih dapat menemui beberapa cebisan mayat, tiada yang utuh, semuanya hancur,” katanya.
Juga kelmarin, sebuah komuniti haram di Tel Aviv mengesahkan kematian dua tebusan yang menurut Hamas telah terbunuh dalam serangan rejim di Gaza.
Di Tel Aviv, penunjuk perasaan antiperang bergelut dengan pihak polis pada malam kelmarin, dengan ada di antaranya membawa sepanduk ‘Tamatkan kepungan’ dan ‘Hentikan genosid’.
“Penjajahan ini mengakibatkan pertumpahan darah dan ia berterusan tanpa henti.
“Kanak-kanak yang sedang membesar di Gaza akan berhadapan dengan kita dalam masa beberapa tahun lagi,” kata penunjuk perasaan Chava Lerman.
“Orang awam terbunuh dalam pengeboman Israel.
Ia tidak membawa sebarang hasil.
“Tebusan-tebusan kami masih berada di sana. Kami tidak akan dapat membebaskan mereka dengan meningkatkan kekuasaan tentera,” tambah rakannya Michal Sapri.
Dalam pada itu, kebimbangan mengenai perang besar di Timur Tengah memuncak ketika keganasan melibatkan sekutu wilayah Hamas yang disokong Iran dan sekutu rejim Israel yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).
Tentera AS berkata, ia telah melancarkan serangan terbaharu ke atas Yaman kelmarin selepas pejuang Huthi melancarkan satu lagi serangan misil ke atas kapal kargo di Laut Merah.
Juga kelmarin, rejim menyerang sasaran Hizbullah di Luban dengan satu sumber keselamatan mengatakan serangan tersebut tertumpu di satu kawasan.