Sarawak sasar 99 peratus kanak-kanak dapat akses pendidikan awal tahun ini
KUCHING: Sarawak menyasarkan 99 peratus kanak-kanak di negeri ini mendapat akses kepada pendidikan awal kanak-kanak tahun ini sebelum melangkah ke alam persekolahan formal.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata tahun lepas, 98.71 peratus kanak-kanak yang memasuki Tahun 1 Sesi 2023/2024 mendapat akses kepada pendidikan awal kanak-kanak.
Ini katanya, adalah satu pencapaian yang bagus untuk Sarawak berbanding peringkat kebangsaan iaitu 88.81 peratus.
“Kita mahu meningkatkan lagi akses kepada pendidikan awal kanak-kanak daripada 98.71 peratus kepada 99 peratus tahun ini.
“Bagi tujuan itu, satu jawatankuasa khas akan meneliti di mana yang masih kurang atau perlukan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak supaya kita dapat tingkatkan kepada 99 peratus tahun ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS) di pejabatnya di Tingkat 8, Bangunan Baitulmakmur II di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus dan Setiausaha Tetap Kementerian Noriah Ahmad.
Ujar Fatimah lagi, sasaran Sarawak adalah 100 peratus kanak-kanak di negeri ini mengikuti pendidikan awal kanak-kanak pada 2030.
Bagi mencapai sasaran itu katanya, MPAKS bekerjasama dengan agensi-agensi seperti SeDidik Sdn Bhd, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Persatuan Pengusaha Tadika (AKO) bagi meningkatkan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini.
Setakat 27 Disember 2023 katanya, terdapat sebanyak 3,033 Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) di seluruh Sarawak, di mana 2,801 daripadanya adalah tadika dan 232 adalah taska.
Fatimah yang juga Pengerusi MPAKS turut berkata, kementerian tahun ini akan terus memperkasakan program pendidikan awal kanak-kanak sedia ada, selain memperkenalkan programprogram baharu.
Katanya, antara yang ditekankan tahun ini ialah pembentukan watak dan sahsiah kanak-kanak melalui program seperti Bersih Awal Bersih Akhir (BaBa) yang diilhamkan daripada amalan OSOJI di Jepun.
Di bawah program itu katanya, kanak-kanak diajar untuk memastikan ruang aktiviti atau pembelajaran bersih dan kemas sebelum dan selepas aktiviti dijalankan.
“Kitajugaakanmenekankan kepada ‘experiential learning’ di IPAKK, di mana kanak-kanak didedahkan kepada penerokaan pengalaman melalui aktiviti-aktiviti luar seperti lawatan untuk mereka belajar daripada situasi kehidupan sebenar,” katanya.