KKM sedang menilai keperluan naik taraf Klinik Kesihatan Skim Skrang
SKRANG: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menilai keperluan menaik taraf Klinik Kesihatan Skim Skrang di Sri Aman.
Timbalan Menteri Kesihatan Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, usaha tersebut dibuat susulan lokasi klinik berkenaan berada di tepi laluan Lebuh Raya Pan Borneo.
Menurutnya, klinik berkenaan telah menerima peruntukan sebanyak RM200,000 pada tahun lepas menerusi Program Klinik Daif di bawah inisiatif Bitara MADANI dan beberapa kerja penambahbaikan juga telah dilaksanakan.
“Kita juga telah menerima kuarters gantian yang telah dibina berdasarkan penggantian untuk projek Pan Borneo.
“Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara perlu kita selesaikan berkenaan isu keselamatan cerun di kuarters tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media sempena lawatan bergerak ke fasiliti kesihatan Sarawak di Klinik Kesihatan Skim Skrang, Sri Aman kelmarin.
Lukanisman yang juga Ahli Parlimen Sibuti menjelaskan, keadaan kuarters gantian tersebut secara fizikal dan dari sudut mata kasar adalah sangat baik.
“Kuarters yang berada di Pan Borneo diganti dan ini akan memberikan satu imej yang lebih baik kepada masyarakat dan memberikan ruang kepada petugas kesihatan yang bertugas di Klinik Kesihatan Skim Skrang menikmati kediaman yang lebih selesa,” jelasnya.
Tambahnya, klinik kesihatan itu juga menawarkan perkhidmatan dalam kadar lawatan hampir 30 pesakit sehari dan peningkatan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dijangka bertambah dengan laluan Pan Borneo yang semakin sibuk, katanya.