Klinik Kesihatan Jalan Merbau terima sumbangan mesin ultrabunyi
Klinik Kesihatan (KK) Jalan Merbau di sini menerima seunit mesin ultrabunyi sumbangan The Malaysian Church of Jesus Christ of Latter-Day Saints dan Rotary Club of Miri Oil Town.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting berkata, sumbangan itu sememangnya membantu KK Jalan Merbau dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
“Kita dimaklumkan bahawa KK Jalan Merbau telah menanti mesin ini sejak 2019 dan kita berterima kasih kepada penyumbang dan pembekal atas pemberian mesin ultrabunyi ini,” katanya semasa menyaksikan majlis ringkas penyerahan mesin ultrabunyi kepada KK Jalan Merbau semalam.
Ting yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Piasau
berkata, mesin berkenaan memberi manfaat dalam membantu mempercepat rawatan pesakit.
Sementara itu, Presiden Kelab Rotary Bandar Minyak Miri Choong Bor Luen mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas sumbangan dana bagi melaksanakan inisiatif berkenaan.
“Sejumlah RM97,000 telah dikumpul bagi menjayakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk untuk mendapatkan sumbangan untuk mesin ultrabunyi,” katanya.
Rotary Club of Miri Oil Town selaras dengan misi ‘Kita Jaga Miri’, telah mendapatkan tajaan daripada The Malaysian Church of
Jesus Christ of Latter-Day Saints yang diwakili Elder Sandy Hall.
“Kita mengambil inisiatif untuk menderma mesin ultrabunyi baharu yang akan memberi manfaat kepada ramai pesakit yang mendapatkan rawatan di KK Jalan Merbau yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan,” jelasnya.
Selain itu, kelab itu menjalankan pelbagai inisiatif seperti program capaian ke beberapa rumah panjang di Mulu, inisiatif farmasi pandu lalu di Hospital Miri dan Klinik Kesihatan Tudan, kabin mudah alih untuk ujian pengesanan COVID-19 serta menaik taraf penginapan untuk kakitangan perubatan yang menjalani pengasingan di Hospital Miri.
Hadir sama ialah Pegawai KK Jalan Merbau Dr Norafini Salamon serta ahliahli Rotary Club of Miri Oil Town.