Rakyat dan kerajaan perlu seiring laksana pembangunan
Rakyat dan kerajaan perlu seiring dalam memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan mengikut perancangan.
Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli berkata kerjasama kedua-dua pihak amat penting memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Dengan adanya kerjasama erat kedua-dua pihak maka setiap pembangunan dirancang di kawasan terlibat dapat dilaksanakan mengikut perancangan telah ditetapkan,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Brandah Renggi, Tanjung Rirang dekat sini kelmarin.
Beliau berkata, kerajaan tidak mahu rakyat negeri
ini ketinggalan menikmati pembangunan semasa sebaliknya pembangunan itu dibahagikan sama rata ke kawasan-kawasan terlibat.
“Sebenarnya… kerajaan tidak mahu ada rakyat tercicir
daripada pembangunan justeru setiap pembangunan dibahagikan sama rata untuk kepentingan rakyat,”jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak rakyat agar sentiasa bersyukur dengan segala pembangunan dibangunkan kerajaan di negeri ini.
“Terdapat banyak pembangunan dilaksanakan di negeri ini khususnya dan semua pembangunan itu daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, Ketua Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Zon Sri Aman Radiah Muhammed@Muhamad, wakil Pegawai Daerah Sri Aman Hamizan Yahya, Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sri Aman Faizul Abdul Wahad, Penolong Jurutera JPS Sri Aman Kumpang Brandah serta ketua-ketua masyarakat.