Tanam tebu hingga ceroboh tanah orang, lapan individu kena bon jaga keamanan
KUCHING: Padah menanam tebu sehingga menceroboh tanah milik orang lain, enam lelaki dan dua wanita masingmasing diperintahkan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam untuk menjalani bon menjaga keamanan selama enam bulan.
Majistret Mason Jaro Lenya Barayan memerintahkan lapan individu tersebut yang berusia antara 25 dan 69 tahun, masing-masing dikenakan jaminan RM500 (tidak didepositkan) dengan seorang penjamin.
Tertuduh-tertuduh yang merupakan ahli sebuah persatuan di sini, terdiri daripada Wira Majni, Yunus Buntok, Edward Kuna, Was Buang, Wan Seman Wan Sebeli, Kamal Anwar, Norlide Buntok dan Siti Aisah Abdullah.
Kesemuanya mengaku bersalah sebaik didakwa di bawah Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah.
Berdasarkan fakta kes, pada 7 Oktober 2023, pengadu yang merupakan anak kepada pemilik tanah tersebut mendapati pihak persatuan berkenaan telahmemperluaskanpenanaman tebuditanahseluas34ekarmilik bapanya dan rakan kongsi di Jalan FAC Matang di sini, tanpa pengetahuan pengadu.
Sebelum ini, pengadu telah mencuba untuk berbincang dengan ketua persatuan iaitu Wira, namun usahanya tidak diberi perhatian.
Malah, tanah milik pengadu juga dilaporkan telah diceroboh oleh persatuan tersebut sejak November 2022.
Selain itu, pengadu juga telah merujuk kepada Pejabat Tanah dan Ukur dan pejabat mengesahkan bahawa tanah tersebut adalah milik bapa pengadu dan rakan kongsinya.
Berikutan itu, pengadu membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya dan kesemua tertuduh ditangkap pada 7 Disember 2023 di tanah lot tersebut.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.