Kerajaan Sarawak anjur Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina pada 10 Februari
akan menganjurkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) Peringkat Negeri yang julung kalinya diadakan pada hari pertama TBC, iaitu 10 Februari.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, rumah terbuka itu akan diadakan dari jam 9 pagi hingga 3 petang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCKK).
“Kami baru sahaja mengadakan mesyuarat jawatankuasa penganjur yang pertama dan saya akan mengumumkan butiran lanjut mengenai acara itu pada 2 Februari.
“Premier (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) meminta saya untuk menganjurkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri iaitu yang pertama Kerajaan Sarawak akan menganjurkan rumah terbuka untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pelancaran Kuplet sempena Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia dan China yang turut dihadiri Konsul Jeneral China di Kuching Xing Wei Ping di Taman Sahabat MalaysiaChina di sini, semalam.
Dr Sim yang juga presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata, tahun ini juga merupakan kali pertama SUPP akan mengadakan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina tahunannya di Sibu.
Bagaimanapun ujarnya, tarikh untuk rumah terbuka SUPP itu masih belum diputuskan dan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang bertanggungjawab untuk penganjuran majlis.
“Apa pun kita akan adakan sidang media mengenai butiran lanjut mengenai rumah terbuka TBC ini,” katanya.
Sementara itu mengenai isu lain, iaitu tentang calon untuk mengisi jawatan Yang Dipertua Dewan Negara yang kosong berikutan peletakan jawatan Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Dr Sim berkata beliau tidak tahu siapa yang akan mengisi jawatan itu.
“Saya tidak lagi berada di Dewan Negara dan fokus saya adalah di Sarawak. Orang terbaik untuk menjawab ini ialah Perdana Menteri kita Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Mesyuarat Majlis Perundingan Kepimpinan Kerajaan Perpaduan telah diadakan di Seri Perdana di Putrajaya pada Isnin (22 Januari) bagi membincangkan calon-calon bagi mengisi jawatan presiden Dewan Negara yang kosong.
Dr Sim adalah antara yang menghadiri mesyuarat itu yang turut termasuk Abang Johari, yang merupakan pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, yang merupakan ketua whip Parlimen GPS.