Ahmad Zahid dijangka rasmi Mini Karnival Usahawan Desa (KUD)@Kota Samarahan
Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka merasmikan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD)@Kota Samarahan pada 2 Februari 2024.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), ketibaan Ahmad Zahid pada jam 3 petang itu akan diiringi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Menteri KKDW merangkap
Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang.
Program akan berlanngsung mulai 1 hingga 4 Februari 2024 di Halaman Samarahan bermula dari jam 6 petang hingga 10 malam pada hari pertama. Manakala pada hari kedua dan ketiga bermula pada jam 9 pagi hingga 10 malam serta pada hari terakhir program akan bermula jam 9 pagi dan tamat jam 5 petang.
Pihaknya juga menawarkan pelbagai aktiviti menarik di bawah kategori aktiviti jualan usahawan, aktiviti pameran agensi dan anak syarikat serta aktiviti tarikan pengunjung.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga akan menyerahkan bantuan termasuk bantuan MajlisAmanahRakyat(MARA) menerusi Skim Pembiayaan KontrakEkspres(SPiKE)Tahun 2024 berjumlah RM6,536,000 kepada 39 penerima.
Sementara itu, bantuan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menerusi Program KeusahawananSarawakTahun 2024 berjumlah RM3,832,500 kepada 537 penerima dan bantuan Bahagian Pembangunan Usahawan Desa (UD) KKDW menerusi Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) berjumlah RM889,000 kepada enam penerima.
Program tersebut juga akan dimeriahkan lagi dengan penggunaan baucar penggalak jualan yang keseluruhannya bernilai RM30,000 dan akan diberikan secara percuma kepada semua pengunjung untuk memeriahkan aktiviti jualan usahawan yang menyertai Program Mini KUD@Kota Samarahan kali ini.