Tun Wan Junaidi angkat sumpah sebagai TYT
Istiadat disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Dato Abdul Rahman Sebli.
Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan semalam.
Istiadat angkat sumpah berlangsung di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Dato Abdul Rahman Sebli.
Istiadat angkat sumpah bermula dengan Premier membaca surat cara pelantikan setelah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Dalam surat cara pelantikan itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah baginda menurut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak boleh melantik seorang Yang di-Pertua Negeri bagi negeri Sarawak mengikut budi bicara baginda tetapi selepas berunding dengan ketua menteri bagi negeri itu.
Susulan pelantikan itu, Tun Wan Junaidi boleh mengguna dan menjalan segala kuasa yang terletak pada Yang di-Pertua Negeri dan mempunyai serta menikmati segala hak kuasa, kelebihan dan hak kedaulatan yang sah dimiliki penyandang jawatan itu.
Sementara itu Tun Wan Junaidi yang hadir bersama isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi berikrar akan dengan jujur menunaikan kewajipannya sebagai Yang di-Pertua Negeri dengan jujur dan dengan segala upayanya.
Beliau juga bersumpah akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Negeri Sarawak dan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Tun Wan Junaidi, 77, akan menyandang jawatan tersebut untuk tempoh empat tahun berkuat kuasa 26 Januari 2024 hingga 26 Januari 2028 menggantikan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Terdahulu sebelum istiadat angkat sumpah, Tun Wan Junaidi melakukan pemeriksaan Perbarisan Kawalan Kehormatan Utama di perkarangan Kompleks DUN Sarawak.
Perbarisan Kawalan Kehormatan terdiri daripada Panji-Panji Batalion Ke-11, Pasukan Gerakan Am Batu Kawa Kuching diketuai pembawa panji Inspektor Nor Azrian Nor Aziz.
Manakala Kawalan Kehormatan daripada Batalion Ke-11, Pasukan Gerakan Am Kuching terdiri daripada tiga pegawai kanan dan 102 anggota diketuai Pegawai Baris DSP Mohd Zaini Ismail.
Dilahirkan di Kampung Pendam (kini Sadong Jaya) pada 1 Februari 1946, Tun Wan Junaidi memulakan kerjayanya sebagai anggota Polis Diraja Malaysia pada 1964 sebelum berkhidmat dalam Pasukan Polis
Hutan dari 1968 hingga 1973.
Beliau mula berkecimpung dalam arena politik pada 1990 selepas memenangi kerusi Parlimen Batang Lupar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kelapan yang dipertahankannya untuk dua penggal seterusnya sebelum berpindah ke Parlimen Santubong pada PRU11.
Di peringkat persekutuan, beliau pernah menyandang beberapa jawatan menteri dan timbalan menteri antaranya Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2013 hingga 2015 dan Menteri Sumber Asli dan Alam
Sekitar dari 2015 hingga 2018.
Tun Wan Junaidi juga pernah menyandang jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dari 2020 hingga 2021 selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dari 2021 hingga 2022.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta yang lain.