Pembangunan Meradong pada landasan memberangsangkan
Pelbagai pembangunan merangkumi kemudahan infrastruktur, ekonomi dan sosial kini giat dilaksana
BINTANGOR: Pembangunan di Meradong kini bergerak pada landasan memberangsangkan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing.
Katanya, pelbagai pembangunan merangkumi kemudahan infrastruktur, ekonomi dan sosial kini giat dilaksanakan di sini.
“Malah, ada sebahagiannya pembangunan terbabit sudah dinikmati oleh masyarakat di sini.
“Itulah nikmat apabila pentadbiran dan wakil rakyat sesebuah kawasan itu dari bumbung sama kerana faktor ini memudahkan semua pihak bekerjasama memastikan pembangunan berterusan.
“Kita berharap suasana dan kesefahaman ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi pembangunan dan kemajuan bersama,” katanya pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 di sini malam kelmarin.
Sekitar 200 ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor diraikan pada majlis itu.
Ding turut melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli SUPP Bintangor kerana sentiasa memberi sokongan kepada semua wakil rakyat di kawasan itu.
“Jalinan kerjasama antara satu sama lain membawa pembangunan di kawasan ini dan kepentingan rakyat harus diutamakan.
“Pada tahun ini, Tebingan
Bintangor dinaiktaraf dan pembinaan Pasar Sentral Bintangor juga mendapat kelulusan melalui RADDA Sarawak.
“Kita berharap kemudahan ini memberi ruang
mencukupi untuk penjaja berniaga pada hujung minggu sekali gus melonjakkan sumber pendapatan penduduk setempat,” jelasnya.
Hadir sama wakil Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei Gung Chiu Kion, Timbalan Pengerusi SUPP Bintangor Chieng Buong Ong, Ketua Wanita SUPP Bintangor Kaunselor Chieng Ming Kiong, Ketua Pemuda SUPP Bintangor Ley Chee Hua dan ketua-ketua masyarakat.
“Malah, ada sebahagiannya pembangunan terbabit sudah dinikmati ” oleh masyarakat di sini. Datuk Ding Kuong Hiing ADUN Meradong