Akibat benarkan PATI berada dalam kenderaan, lelaki didenda RM15,000
KUCHING: Tindakan seorang lelaki yang membenarkan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) beradadidalamkenderaannya membawa padah apabila dia didenda RM15,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Sahrim Cicci, 52, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta sama.
Beliau juga memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membenarkan tiga PATI berada di dalam sebuah van dipandunya sekitar jam 10 pagi di tepi Jalan Serian-Tebedu, Serian pada 13 Januari 2021.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap PATI ditemui.
Fakta kes mendedahkan pasukan polis memberhentikan van dipandu tertuduh untuk melakukan pemeriksaan dan mereka mendapati terdapat lapan penumpang warga Indonesia berada di dalam kenderaan tersebut.
Pemeriksaan lanjut mendapati daripada lapan penumpang warga Indonesia berkenaan, dua daripada mereka (Irsan Palari dan Sudirman Pahri) tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Malaysia, sementara seorang kanakkanak perempuan berusia dua tahun tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.
Berikutan itu, polis menangkap tertuduh bersama Irsan dan Sudirman pada hari sama untuk tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, Irsan dan Sudirman masing-masing telah dijatuhkan hukuman setimpal apabila mengaku bersalah atas tuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala kanak-kanak berkenaan dihantar pulang tanpa sebarang dikenakan sebarang pertuduhan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei sementara tertuduh diwakili peguam Osman Ibrahim dan Ernie Natasha Azman.