Lelaki mengaku miliki motosikal curi dipenjara enam bulan
Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah memiliki sebuah motosikal curi.
Majistret Mason Jaro Lenya Barayan memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh, Mahd Taufeq Kalong, 30, untuk dikuatkuasakan mulai tarikh tangkap.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Lorong Punica 1F, Jalan Matang/Batu Kawa di sini pada 10 November 2023 kira-kira jam 1 petang.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang enam bulan hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan keterangan kes, tertuduh ditangkap polis pada 10 November 2023 bersabit laporan dibuat oleh seorang pengadu lelaki berusia 21 tahun yang menyatakan motosikal miliknya dicuri.
Pada hari tersebut, polis melaksanakan rondaan cegah jenayah di sekitar jalan berkenaan sebelum terserempak dengan sebuah motosikal ditunggangi seorang lelaki (tertuduh) yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Berikutan itu, polis menahan lelaki tersebut dan melakukan pemeriksaan di sistem terhadap nombor pendaftaran motosikal sekali gus mendapati ia merupakan nombor pendaftaran palsu.
Polis kemudian memeriksa nombor casis dan mendapati ia selari dengan motosikal milik pengadu dilaporkan hilang.
Semasa tangkapan dibuat juga, polis mendapati motosikal berkenaan berada dalam kawalan tertuduh, malah pengadu turut mengenali motosikal itu sebagai miliknya.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.