Curtin Malaysia terima kunjungan JIM Sarawak
Curtin University Malaysia (Curtin Malaysia) telah menerima kunjungan daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak yang diketuai Pengarah Imigresen Sarawak Abdul Halim Abang Naili, baru-baru ini.
Kunjungan terbabit bagi membincangkan kepentingan mengenai visa pelajar, di samping memperkukuh komitmen kedua-dua belah pihak dalam proses pengambilan pelajar antarabangsa di universiti tersebut.
Rombongan itu telah disambut Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Curtin Malaysia Dato Sri Lee Kim Shin, Pro Naib Canselor, Presiden dan Ketua Eksekutif Curtin Malaysia Profesor Simon Leunig dan Ketua Pegawai Operasi Curtin Malaysia Sharon Chong serta ahli-ahli pengurusan Curtin Malaysia yang lain.
Curtin Malaysia dalam kenyataan medianya berkata, menerusi perbincangan itu kedua-dua pihak bertukartukar pendapat dan pandangan serta meneroka peluang untuk menyelaraskan proses permohonan visa.
“Proses terbabit penting bagi memastikan permohonan visa dilaksanakan dengan
lancar sesuai dengan garis panduan yang telah ditetapkan.
“Kelancaran proses berkenaan sangat penting bagi memudahkan pelajar antarabangsa yang berhasrat menyambung pengajian di Curtin Malaysia, sekali gus mencerminkan kampus global Curtin terbesar dan hab di ASEAN.
“Kerjasama tersebut menegaskan kesungguhan kedua-dua pihak dalam memupuk hubungan positif di antara institusi pendidikan dan pihak berkuasa imigresen,” jelas kenyataan itu.
Rombongan turut dibawa melawat ke sekitar kampus Curtin Malaysia selepas sesi perbincangan bagi melihat kemudahan yang disediakan dan persekitaran pembejaran yang kondusif kepada pelajar tempatan mahupun antarabangsa.
“Secara menyeluruh, Curtin Malaysia komited untuk mengekalkan jalinan kerjasama yang kukuh dengan badan-badan kerajaan yang berkaitan dalam memastikan pelajar memperoleh sokongan dan sumber yang diperlukan untuk berkembang dalam usaha akademik
mereka,” tambah kenyataan tersebut.
Hadir sama ialah Penolong Pengarah Imigresen Yusdi Morshidi, Ketua Jabatan Imigresen Bahagian Miri Abang Mat Noor Abang Abdul Samat, Penolong Ketua Jabatan Imigresen Bahagian Miri Mohamad Sopian Abdul Nasip, Pegawai Pengarah Unit Visa, Pas dan Permit Pejabat Miri Dennis Linggie, Pegawai Perkhidmatan Ekspatriat Bahagian Miri (ESD) Andika Tukiran, Pengurus ESD Azmee Amin dan Pengurus Unit Pas Pelajar Yusdi Sarimin.