Sarawak kenal pasti kawasan di Gedong bagi penanaman lumut
Ia mungkin menumpukan kepada pengeluaran produk makanan
Gedong telah dipilih disebabkan oleh kesesuaian tanah untuk kita menanam lumut yang ini kajiannya khusus untuk makanan serta farmaseutikal dan akhirnya untuk Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).
KUCHING: Sarawak telah mengenal pasti kawasan di Gedong untuk tujuan penanaman atau pembangunanan lumut yang mungkin menumpukan kepada pengeluaran produk makanan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Gedong telah dipilih untuk projek berkenaan kerana kesesuaian tanah untuk membangunkan lumut.
“Gedong telah dipilih disebabkan oleh kesesuaian tanah untuk kita menanam lumut yang ini kajiannya khusus untuk makanan serta farmaseutikal dan akhirnya untuk Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).
“Penanaman lumut di Gedong ini akan meliputi kawasan seluas 100 hektar dan Chitose akan membuat kajian di sini, menjadikan ia makmal untuk tujuan membuat kajian di sini bagi pasaran di seluruh dunia,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Projek Agrihub@Gedong di Gedong, semalam.
Menurut Abang Johari, Chitose (Chitose Carbon Capture Central) mempunyai loji perintis di Sejingkat seluas lima hektar.
“Selain itu, sudah tentu kita uga mempunyai kemudahan di Bintulu menggunakan teknologi lain, menggunakan alga untuk menghasilkan SAF.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menjalankan kajian. Ia menunjukkan hasil positif dan kita akan meluaskan kawasan Gedong untuk menjadi pusat kawasan pesisir pantai, menggunakan tanah yang ada untuk membangunkan sektor pertanian,” katanya.
Sementara itu, mengenai pembangunan lain di Gedong, kerajaan akan membangunkan Penisula Isthmus yang sudah memulakan kerjakerja pembinaan.
Jelasnya pada penghujung tahun 2025 dan awal tahun
2026, sebahagian daripada projek pembinaan pejabat pentadbiran dan pusat komersial dijangka siap di Gedong.
“Kita juga ada makmal untuk Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Swinburne. Bagi Universiti Swinburne adalah lebih kepada penggunaan teknologi digital yang menyimpan data bagi hasil pertanian,” katanya.