Persatuan Wanita Penyayang Bandaraya Miri santuni 140 penerima bantuan
Kira-kira 140 ibu tunggal dan ketua keluarga miskin di sini menerima angpau dan barangan keperluan harian sumbangan Persatuan Wanita Penyayang Bandaraya Miri semalam.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I Datuk Sebastian Ting berkata, sumbangan tersebut diharap dapat menceriakan golongan itu sempena perayaan Tahun Baharu Cina (TBC).
“Persatuan Wanita Penyayang Bandaraya Miri telah menjadikan program ini sebagai aktiviti tahun yang banyak membantu golongan memerlukan dalam persiapan meraikan TBC,” katanya semasa penyerahan sumbangan di Dewan Saha’ti di sini.
Ting yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Piasau memberitahu, sumbangan sedemikian meskipun bukan jumlah yang besar tetapi cukup menceriakan golongan berkenaan.
“Kita berterima kasih kepada semua pihak terutama mereka yang turut menghulurkan sumbangan untuk diagihkan kembali kepada golongan B40 dan miskin,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Kapitan Chan Chai Ping berkata, pihaknya tidak dapat melaksanakan program sedemikian tanpa sumbangan dana daripada orang awam dan wakil rakyat.
“Persatuan juga berterima kasih kepada Ting yang sentiasa tampil menyalurkan dana untuk kami melaksanakan pengagihan bantuan TBC setiap tahun,” ujarnya.
Menurutnya, terdapat pertambahan penerima bantuan TBC pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya namun ia tidak menghalang mereka untuk menyediakan bantuan secara sama rata.
Persatuan itu berharap bantuan ini sekurangkurangnya dapat meringankan beban perbelanjaan harian mereka dalam membuat persiapan untuk menyambut TBC tidak lama lagi.