CENTEXS menganugerahkan sijil kepada 1,827 graduannya
Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) menganugerahkan sijil kepada 1,827 graduannya pada Majlis Konvokesyen Ke-8 yang berlangsung selama empat hari sehingga 8 Februari ini.
Majlis konvokesyen disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Serba Guna CENTEXS di Santubong semalam yang turut dihadiri Pengerusi CENTEXS Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
Morshidi dalam ucapannya berkata, daripada 1,827 graduan yang diraikan seramai 1,534 graduan adalah daripada Akademi Industri dan 293 graduan lagi daripada Akademi Digital dan Tenaga Hijau.
“Semua graduan ini adalah daripada 52 daripada 84 program yang ditawarkan CENTEXS dengan bidang fokus dalam Digital, Tenaga Hijau, Minyak dan Gas, Elektrikal, Pembinaan, Teknologi Fesyen, Warisan, Hospitaliti dan Pelancongan.
“Program-program ini dipersijilkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa daripada industri terkemuka termasuk Schlumburg
er (SLB), Sarawak Metro, Sarawak Energy, PETROS, SHELLMDS, Longi, SALCRA, Dayang Enterprise Holdings Berhad, Press Metal Bintulu, Hilton, Pullman dan banyak lagi,” katanya.
Sempena konvokesyen tersebut turut diadakan sesi temu duga terbuka dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Prudential untuk graduan CENTEXS.
“Kami telah melatih 16,201 pelatih termasuk Program Sepenuh Masa, Program Jangkauan Teknologi Industri, Program Jangkauan Teknologi Komuniti dan
Program Transformasi Kampung.
“Secara keseluruhan, kami telah mencapai 93 peratus kebolehpasaran setakat November 2023 dan untuk rekod, graduan CENTEXS telah bekerja merentasi industri di Sarawak, Malaysia dan antarabangsa,” katanya.
Selain memantapkan belia, pekerja industri dan graduan universiti, CENTEXS kata Morshidi juga memberi peluang kepada pekerja sedia ada untuk meningkatkan kemahiran mereka di mana pada konvokesyen kali ini, ada graduasi edisi khas untuk dua pekerja CENTEXS.