Usaha secara bersepadu pupuk kejayaan anak-anak
Usaha secara bersepadu dengan bersungguh-sungguh oleh semua lapisan masyarakat dalam pendidikan akan dapat menyumbang kepada kejayaan anak-anak dalam menghadapi perubahan zaman dan cabaran semasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang berkata, ibu bapa kini perlu menitikberatkan soal pembelajaran secara berterusan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah.
Katanya, ibu bapa perlu melakukan refleksi kendiri atau bermuhasabah sama ada memadai atau cukup setakat menyerahkan tanggungjawab mendidik kepada guru dan pihak sekolah.
“(Sebaiknya) Ibu bapa perlu memastikan usaha (mendidik) yang dimulakan di sekolah diteruskan semasa anak-anak balik ke rumah,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang 2023/2024 Peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) Asyakirin Bintulu di sini, semalam.
Pang berkata, cendekiawan ada menyatakan tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit hempedu, maka pelbagai usaha perlu dilakukan untuk menjadikan murid sebagai peneroka ilmu dan mempersiapkan mereka dengan keperluan abad ke-21.
“Selama ini, kita beranggapan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak mereka di sekolah berlaku secara semula jadi, namun ia tidak pada hari ini
dengan perubahan zaman dan cabaran semasa,” jelasnya.
Pada masa sama beliau memuji usaha penganjuran majlis itu yang akan memberi dorongan dan memotivasikan murid-murid agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang.
Beliauberharappencapaian cemerlang murid-murid tersebut tidak terhenti di situ sebaliknya kekal diteruskan dalam menghadapi pelbagai cabaran baharu yang menuntut supaya sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha melangkaui sempadan kecemerlangan.
“Kepada murid-murid yang tidak menerima hadiah dan anugerah, janganlah kecewa tetapi ingatlah pesanan saya, untuk menjadi seorang murid yang cemerlang, kita harus mempunyai sikap rajin berusaha dan tidak mudah berputus asa,” katanya.
Pada majlis itu, Nuh
Diniy Ahmad dan Noor Iman Qasrina Qaisara Mohd Fadli Azhar menerima Anugerah Tokoh Murid SK Asyakirin.
Anugerah untuk beberapa bidang turut disampaikan, antaranya Anugerah Duta Sahsiah disandang Nicholas Iky Jantan Menti dan Noor Iman Qasrina Qaisara Mohd Fadli Azhar, Anugerah Terbaik Kurikulum Nuh Diniy Ahmad dan Sarah Yasmeen Sairul Azali, Anugerah Terbaik Kokurikulum Mohammad Khairil Muqmin Abdul Rahman dan Sofea Kaisara Amir serta Anugerah Terbaik Hal Ehwal Murid Mohamad Faiq Nasrullah Mohamad Zakaria dan Dya Batrisya Nadzaruddin.
Hadir sama Guru Besar Arbah Tusin, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Muhaimin Dahian, Pegawai Perhubungan Sekolah Sub Inspektor Matali Yan, exco PIBG, guru dan ibu bapa.