Ibu bapa antara individu banyak berkorban pastikan anak dapat pendidikan sempurna
SRI AMAN: Ibu bapa antara individu yang banyak berkorban masa dan tenaga dalam memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sempurna dengan harapan agar anak mereka berjaya dalam kehidupan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis berkata, kehadiran ibu bapa pada program anjuran sekolah-sekolah di Negeri menunjukkan komitmen tinggi golongan ini terhadap pendidikan anak-anak mereka di sekolah.
“Ini menunjukkan ibu bapa sentiasa memberikan sokongan kepada pihak Lembaga Pengurusan Sekolah dalam apa jua program anjuran pihak sekolah dengan matlamat untuk memastikan anakanak mereka mereka berjaya serta mendapat pendidikan yang terbaik daripada pihak sekolah,” ujarnya.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Majlis Graduasi Tahun 6 Ke-84 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Simanggang di Stadium Lau Ngee Mung sekolah berkenaan di sini semalam.
Program yang diadakan kali ini untuk memberi penghargaan kepada murid tahun enam sekolah berkenaan kerana telah menamatkan persekolahan di peringkat rendah dan akan melangkah ke tingkatan satu pada 11 Mac depan.
Selain penyampaian sijil tamat persekolahan tahun enam, turut disampaikan juga beberapa anugerah kecemerlangan kepada murid atas pencapaian mereka dari tahun satu hingga tahun enam dalam kegiatan kurikulum, kokurikulum dan sahsiah.
Harden menambah, untuk rekod sepanjang sesi persekolahan 2023-2024 peratusan komposisi murid Bumiputera telah mengalahkan murid Cina dengan 51 peratus Bumiputera manakala kaum Cina 49 peratus.
“Dari sudut jantina, murid tahun enam dimonopoli murid perempuan seramai 85 orang dan lelaki 61 membawa kepada jumlah keseluruhan 146 orang,” jelasnya.
“Saya sangat teruja melihat kehadiran para ibu bapa yang memenuhi ruang stadium ini.
“Ini menunjukkan sokongan para ibu bapa kepada pihak sekolah dalam menjadikan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna dan menyumbang kepada pembangunan negeri.
Hadir sama pada majlis berkenaan wakil Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman Azri Bunyok, Guru Besar SJKC Chung Hua Simanggang Chin Kui Nam, Pengerusi LPS, SJKC Chung Hua Simanggang Temenggung Kueh Aik Seng, Yang Dipertua PIBG Goh Kaw Sze, Setiausaha LPS SJKC Chung Hua Simanggang Wilson Chai Siew Lin dan Pengerusi Persatuan Bekas Pelajar SJKC Chung Hua Simanggang Ting Lik Sing.
Pada majlis tersebut, Harden telah meluluskan peruntukan MRP bagi tahun 2024 masing-masing RM20,000 kepada Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) dan PIBG.
Peruntukan daripada kerajaan GPS itu adalah untuk membiayai program pembangunan dan kecemerlangan murid.