Dua dibunuh tentera Israel di Baitulmaqdis, Tebing Barat
BAITULMAQDIS: Rejim Israel menyatakan kelmarin bahawa anggota polis telah menembak mati seorang suspek bersenjatakan pisau di Kota Lama di Baitulmaqdis, sementara pihak tentera menyatakan anggota tentera telah membunuh seorang penyerang di Tebing Barat yang ditawan.
Jurucakap rejim menyatakan anggota polis menahan seorang lelaki untuk disoal siasat di kawasan Islam di Kota Lama di timur Baitulmaqdis.
Ketika lelaki itu menghampiri pihak polis, dia cuba menikam anggota polis dengan pisau, menurut jurucakap itu dalam satu kenyataan.
“Anggota polis bertindak pantas dan berjaya ‘meneutralkan pengganas’ dengan tembakan,” tambah beliau.
Seorang pejalan kaki mengalami kecederaan ringan akibat serpihan peluru dan dibawa ke hospital bagi rawatan, tambah jurucakap itu.
Di Tebing Barat, anggota tentera berhampiran Baitulaham menembak seorang lelaki yang cuba menikam seorang anggota tentera, kata rejim.
“Anggota tentera memberikan respons dengan menembak peluru hidup terhadap ‘pengganas yang telah dineutralkan’.
“Tiada kecederaan IDF (tentera) telah dilaporkan,” menurut rejim.
Pada 30 Oktober, seorang rakyat Palestin bersenjatakan pisau menikam dan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang anggota polis di timur Baitulmaqdis sebelum ditembak mati.
Seorang lagi lelaki Palestin cedera ditembak di kawasan yang sama pada 21 September selepas menikam seorang pengawal keselamatan di stesen kereta api ringan.
Dua minggu sebelum insiden itu, seorang remaja Palestin bersenjatakan sebilah pisau pemotong daging mencederakan dua orang dalam satu serangan di luar Kota Lama.
Pada 31 Disember,dua orang tercedera dalam kejadian tikaman oleh seorang rakyat Palestin berhampiran petempatan haram di Tebing Barat. — AFP