Hidupkan semula lumba basikal di Miri
Miri memiliki tempat-tempat menarik malah pernah menganjurkan kejohanan sukan utama kebangsaan dan antarabangsa
Kita mahu menghidupkan perlumbaan berbasikal di Miri kerana bandar raya ini memiliki tempat-tempat menarik untuk penganjuran perlumbaan itu, malah keadaan muka bumi rata membolehkan berbasikal hingga ke Kuala Baram.
MIRI: Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin mahu penganjuran perlumbaan berbasikal di Miri dihidupkan semula setelah terhenti akibat penularan wabak COVID-19 lalu.
Justeru, beliau mengajak kelab-kelab berbasikal di sini untuk merancang lebih banyak aktiviti perlumbaan berbasikal dalam usaha menjadikan Miri pusat penganjuran kejohanan sukan utama kebangsaan dan antarabangsa.
“Kita mahu menghidupkan perlumbaan berbasikal di Miri kerana bandar raya ini memiliki tempat-tempat menarik untuk penganjuran perlumbaan itu, malah keadaan muka bumi rata membolehkan berbasikal hingga ke Kuala Baram.
“Malah, Bandar raya Miri pernah menjadi tuan rumah penganjuran perlumbaan basikal peringkat antarabangsa sebelum ini,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang perlumbaan basikal Miri Criterium 1.0 di sini kelmarin.
Kejohanan anjuran Kelab Berbasikal Masterpiece itu disertai seramai 225 peserta dari Miri, Kuching, Bintulu,
Kota Kinabalu, Sibu, Mukah, Saratok dan Serian.
Perlumbaan itu juga berjaya menarik penyertaan pelumba-pelumba
antarabangsa dari negara United Kingdom, Jerman, Afrika Selatan dan Brunei Darussalam.
Menurut Lee, perlumbaan itu adalah yang pertama dianjurkan selepas penularan wabak COVID-19.
Beliau memberitahu, lebih 600 orang pelumba terlibat dalam perlumbaan kali terakhir sebelum wabak itu melanda negara.
“Kita mahu menggalakkan Kelab Berbasikal Masterpiese menganjurkan perlumbaan berbasikal peringkat antarabangsa di Miri pada tahun depan.
“Justeru, kita juga berharap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan memberi mereka sokongan dan menganjurkan acara-acara besar dan peringkat antarabangsa di Miri,” jelasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata, Kelab Berbasikal Masterpiece kerap menjadi penganjur utama dan berjaya mengendalikan perlumbaan tersebut dengan jayanya.
Kejohanan tersebut adalah permulaan terhadap usaha untuk menghidupkan semula perlumbaan berbasikal di sini.
“Acara ini berjaya menarik ramai peserta dari luar Miri. Ia merupakan acara yang baik untuk membawa pelumbapelumba basikal dalam dan luar negara ke Bandar raya Miri,” katanya.