Majlis Sambutan TBC wajar dijadikan acara penting Jabatan Premier Sarawak
Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) peringkat Jabatan Premier Sarawak yang diadakan kali kedua tahun ini wajar dijadikan acara penting dalam kalendar jabatan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato Hii Chang Kee berkata demikian sambil menambah, penganjuran majlis seumpama itu memberi peluang kepada penjawat awam negeri khususnya di Jabatan Premier Sarawak mengeratkan hubungan seterusnya kerjasama antara satu sama lain.
“Perayaan utama seperti Tahun Baharu Cina memberi peluang kepada kita untuk menunjukkan kekayaan kita dalam kepelbagaian budaya.
“Setiap penjawat awam yang hadir di majlis ini, hari ini adalah tulang belakang Kerajaan Sarawak untuk memastikan visi dan misi negeri ke arah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 tercapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 Jabatan Premier Sarawak di Atrium Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, kelmarin.
Majlis itu dirasmikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, menteri-menteri kabinet negeri serta Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Hii yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur majlis itu berkata Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri yang diadakan buat julung kalinya tahun ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) telah mendapat sambutan amat menggalakkan daripada komuniti setempat.
Menurutnya, majlis itu telah dihadiri kira-kira 7,000 orang, melebih sasaran awal iaitu 5,000.
“Jumlah orang yang datang pada majlis rumah terbuka ini menunjukkan masyarakat berbilang kaum di Sarawak mempunyai hubungan yang erat serta dasar keterangkuman Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier kita, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” ujarnya.
Hii menambah, Tahun Naga melambangkan nasib baik, keadilan, kemakmuran dan kekuatan, justeru tahun baharu 2024 ini seharusnya menyaksikan penjawat awam negeri bekerja sebagai satu pasukan untuk mencapai matlamat serta kejayaan lebih besar.
“Seperti Naga, kita harus mempunyai karisma dan pemikiran berwawasan yang sentiasa mencabar andaian dan status quo, pada masa sama menilai peluang baharu yang timbul dalam era sentiasa berubah.
“Kita mesti merebut peluang baharu dan berganding bahu untuk manfaat serta sumbangan yang lebih besar ke arah kemakmuran ekonomi dan pembangunan mampan,” tambahnya.