Latar belakang undang-undang jadikan Mutang sesuai dilantik Yang Dipertua Dewan Negara
Latar belakang undang-undang Datuk Mutang Tagal menjadikannya pilihan yang sesuai untuk menjadi Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun Mutang telah bersara daripada politik selama bertahun-tahun, latihannya sebagai seorang peguam akan membolehkannya memimpin Dewan Negara dengan baik.
“Meskipun beliau (Mutang) telah lama bersara daripada politik, beliau pernah menjadi Ahli Yang Berhormat dalam tahun 1980-an hingga 1990-an tetapi beliau mempunyai latar belakang yang sesuai untuk peranan baharunya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian selepas mengadakan sidang media memperkenalkan ’Raya Emas: Salako Harta Suci’ di Muzium Budaya Borneo di sini, semalam.
Pelantikan Mutang yang berasal dari Lawas sebagai Yang Dipertua Dewan Negara
ke-20 menjadi sejarah kepada beliau, yang merupakan pemimpin dari etnik Lun Bawang pertama memegang jawatan itu.
Mutang, 69, mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20 pada kelmarin (19 Februari), mengambil alih jawatan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang kini Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Abdul Karim turut mengucapkan tahniah kepada Mutang kerana menjadi orang Dayak pertama dilantik ke jawatan itu.
“Ia satu penghormatan kepada masyarakat Dayak khususnya Lun Bawang dan Orang Ulu,” katanya.
Mutang, 69, yang pernah menjadi Ahli Parlimen Bukit Mas dari 1982 hingga 1990, memiliki Master of Business Administration (MBA) daripada Curtin University dan kini menyandang beberapa jawatan termasuk antaranya Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Orang Ulu (OUCCI).
Beliau juga Penasihat Undang-Undang Persatuan Lun Bawang Sarawak dan Naib Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF).