JKM Sarawak beli 24 mesin hemodialisis untuk ditempatkan di 14 hospital
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak membeli sebanyak 24 mesin hemodialisis secara tender pada 2023 untuk ditempatkan di 14 hospital seluruh negeri dalam usaha membantu melicinkan proses rawatan penyakit buah pinggang.
Menteri Pembangunan Wanita, KanakKanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, satu mesin akan ditempatkan di Pusat Jantung Sarawak (PJS) Kota Samarahan dan masing-masing satu di Klinik Kesihatan Debak, Hospital Serian, Saratok, Kanowit, Dalat dan Limbang.
“Hospital Betong, Mukah dan Bintulu masing-masing akan menerima tiga mesin hemodialisis, manakala Hospital Lundu, Sarikei, Lawas dan Klinik Kesihatan Tatau menerima dua mesin.
“Sebuah mesin bernilai RM41,150 dan keseluruhan perbelanjaan pembelian 24 mesin adalah sebanyak RM987,600,” ujar beliau ketika berucap pada majlis penyerahan mesin hemodialisis di PJS Kota Samarahan, semalam.
Hadir sama, Pengarah Pusat Jantung Sarawak Dr Mohd Asri Riffin, Pengarah JKM Sarawak Adana Jed dan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Colliner Gohe.
Fatimah berkata, mesin hemodialisis yang ditempatkan di hospital-hospital tersebut adalah mengikut keperluan penggunaan pesakit bagi rawatan, selain menggantikan mesin lama.
“Di PJS umpamanya, bantuan mesin hemodialisis di bawah inisiatif Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BKPBP) ini dapat menambah bilangan mesin sedia ada berikutan pertambahan bilangan pesakit yang menjalani rawatan di sana,” katanya lagi.
Menurutnya, PJS juga pernah menerima dua mesin pada 2021 di bawah inisiatif yang sama daripada kerajaan Sarawak.
Mengenai BKPBP, Fatimah berkata sepanjang tempoh 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2023, terdapat 185 penerima BKPBP dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM6,944,780.
Sementara jumlah perbelanjaan Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BPB) di Sarawak setiap tahun masing-masing dicatatkan sebanyak RM2,173,416 pada 2023, RM2,367,836 (2022), RM 1,983,076 (2021) dan RM420,452 (2020).
Untuk rekod, BKPBP merupakan inisiatif kerajaan Sarawak untuk membantu meringankan beban pesakit buah pinggang di negeri ini yang memerlukan rawatan untuk penyakit buah pinggang.
Bantuan tersebut telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mulai Mac 2020.