Tun taib titik berat usaha pertahan perpaduan rakyat Sarawak: aloysius
Allahyarham bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud amat menitikberatkan usaha melindungi dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak yang berbilang kaum dan agama.
Perkara itu dinyatakan Ketua Eksekutif Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) Datu Aloysius J Dris sambil menambah sebagai pengerusi lembaga pemegang amanah yayasan itu, Allahyarham sangat menyokong semua usaha untuk mengukuhkan perpaduan di negeri ini.
“Pada 2018 beliau (Tun Taib) mencadangkan menggunakan Regata Sarawak sebagai cara untuk menyatukan lagi rakyat Sarawak.
“Ia mencerminkan falsafah beliau mengenai pertemuan antara sungai-sungai. Struktur sosial Sarawak yang pelbagai diumpamakan seperti sungai kecil dan anak sungai yang banyak mengalir ke sungai utama, dengan air pelbagai warna bercampur menjadi satu warna sebelum mengalir ke laut,” kata menerusi kenyataan
semalam.
Aloysius menegaskan, Tun Taib sangat menyokong aktiviti-aktiviti YPS untuk mengukuhkan perpaduan, khususnya dalam kalangan belia.
“Tun Pehin Sri Taib akan diingati kerana beliau menghargai perpaduan Sarawak dan bagaimana beliau berjuang bersungguh-sungguh untuk mengekalkannya sepanjang berkhidmat untuk negeri ini. Beliau bukan sahaja akan dirindui, tetapi legasinya akan kekal,” tambahnya.
YPS ditubuhkan pada 16 Mei 1994, sebagai sebuah pertubuhan bukan mencari keuntungan yang berdedikasi
memupuk dan mengekalkan perpaduan, keharmonian dan hubungan aman dalam kalangan masyarakat Sarawak.
Dengan tujuan untuk memupuk, membangun dan meningkatkan pertukaran budaya serta pendidikan, YPS berusaha melibatkan belia Sarawak dalam aktiviti yang akan meningkatkan pemahaman serta penghayatan warisan budaya masingmasing.
Pada masa sama menghargai usaha keras dan pengorbanan pemimpin terdahulu bagi memastikan belia hari ini mempunyai perpaduan, keharmonian dan keamanan dalam kalangan mereka.