Ketua masyarakat Iban daerah Sibu santuni mangsa kebakaran Rh Rebah
SIBU: Ketua masyarakat Iban daerah Sibu tidak ketinggalan membantu mangsa kebakaran Rumah Rebah, Nanga Tutus, Batang Igan pada Ahad.
Diketuai oleh Temenggung Stanley Geramong Bandar dan Pemanca Paing Tawi, ketua masyarakat terbabit telah menghulurkan bantuan berupa barangan makanan kepada mangsa kebakaran terbabit.
Turut hadir menyerahkan bantuan ialah Penghulu Dennis Ansan, Penghulu Ali Jampi dan Penghulu Eddy Jemat Jelian.
Dalam pada itu, Stanley menasihati semua penghuni rumah panjang agar lebih peka dan berhati-hati bagi mengelakkan bencana seperti kebakaran itu berlaku di rumah panjang mereka.
Beliau memberitahu, penghuni rumah panjang perlu memastikan api dapur telah dipadamkan setelah selesai memasak atau semasa hendak meninggalkan bilik masing-masing.
“Pada masa sama, pastikan pendawaian elektrik dalam rumah mesti dalam keadaan baik dan penyambungan elektrik ini mendapat kebenaran atau kelulusan daripada pihak Sesco.
“Penyambungan yang tidak betul atau penggunaan elektrik pada satu soket yang terlalu banyak juga boleh menyebabkan litar pintas yang menyebabkan kebakaran berlaku,” ujarnya.
Dalam kejadian pagi Ahad itu, tujuh daripada 13 pintu
Rh Rebah musnah dalam kebakaran menyebabkan 27 penghuni hilang tempat tinggal.
Ini merupakan kebakaran ketiga di Nanga Tutus sejak tahun 2013 yang mempunyai sembilan buah rumah panjang.
Pada Januari 2013, kebakaran telah memusnahkan Rh Augustine Meringai sepanjang 12 pintu di Nanga Tutus, Batang Igan menyebabkan kira-kira 50 penghuni hilang tempat berteduh.
Sementara pada Disember 2015, kebakaran telah memusnahkan 14 pintu Rh Lidwina Mathew, Nanga Tutus menyebabkan lebih 113 penduduk kehilangan tempat tinggal.