Liverpool kukuh di tangga teratas
Menjarakkan diri dengan pencabar terdekat Man City kepada empat mata hasil kemenangan 4-1 ke atas Luton Town
LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata skuadnya yang diselubungi kecederaan pemain, menghasilkan ‘percikan bunga api’ untuk bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Luton Town 4-1 dan menjarakkan kedudukan di singgahsana Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan empat mata pada Rabu.
Kami hanya perlu bermain dengan lebih tenang pada saat penting. Sebaik sahaja menjadi lebih tenang, maka muncul percikan bunga api. Bagi saya, ia adalah gol yang hebat dan malam yang hebat.
Juergen Klopp Pengurus Liverpool
Chiedozie Ogbene meletakkan Luton di hadapan dalam separuh masa pertama ketika menentang lawan yang beraksi tanpa Mohamed Salah, Darwin Nunez dan Diogo Jota antara lain.
Dua pemain antarabangsa Belanda, Virgil van Dijk dan Cody Gakpo mengubah rentak permainan apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit sebelum satu jam permainan dan dua lagi gol dijaringkan Luis Diaz dan Harvey Elliott.
Kemenangan meletakkan Liverpool empat mata di hadapan Manchester City dan lima mata di hadapan Arsenal tetapi bermain lebih satu perlawanan berbanding dua pesaing utamanya.
“Bagaimana stadium dan pasukan bersama-sama mengubah permainan adalah luar biasa sekali,” kata Klopp.
“Kami hanya perlu bermain dengan lebih tenang pada saat penting. Sebaik sahaja menjadi lebih tenang, maka muncul percikan bunga api. Bagi saya, ia adalah gol
yang hebat dan malam yang hebat.”
Skuad Liverpool sudah mengecil kerana kecederaan sebelum Curtis Jones , Jota dan Nunez mengalami kecederaan ketika kemenangan 4-1 di Brentford hujung minggu lepas.
Salah menjaringkan gol selepas kembali beraksi hujung
minggu lepas tetapi dia terpaksa bermula di bangku simpanan untuk mengelak sebarang kemungkinan kecederaan berulang.
Klopp sudah tanpa penjaga gol Alisson Becker, Trent Alexander-Arnold, Joel Matip dan Thiago Alcantara kerana kecederaan dan Liverpool dipaksa bekerja lebih kuat
untuk tiga mata berbanding apa yang mereka mahukan, beberapa hari sebelum menentang Chelsea di final Piala Liga Inggeris Ahad ini.
Bagaimanapun, Salah dan Nunez mungkin cergas diturunkan untuk final di Wembley nanti.
“Kami harus lihat tetapi saya berkata sebelum perlawanan
di mana selagi kami mempunyai 11 pemain dalam padang, kami akan berusaha,” tambah Klopp.
Luton mengikat Liverpool 1-1 dalam pertemuan pertama di Kenilworth Road pada bulan November lepas dan kelihatan mampu memberikan kejutan kepada pasukan elit Liga Perdana selepas kembali semula ke liga elit.
Bagaimanapun, Luton belum memberikan ancaman serius tetapi sudah di hadapan pada minit ke-12.
Tahith Chong membawa bola ke dalam kotak penalti Liverpool dan apabila rembatan kencangnya dihadang oleh kaki penjaga gol Caoimhin Kelleher, Ogbene berada di tempat yang tepat untuk menanduk bola muntah ke pintu gol.
Semua peluang Liverpool sebelum rehat adalah dari Diaz tetapi penyerang antarabangsa Colombia itu mensiasiakan enam peluang.
Klopp membakar semangat penonton di Anfield dengan setiap peluang dan pasukannya akhir memecah kebuntuan pada minit ke-56.
Van Dijk mengetuai kebangkitan Liverpool apabila melepasi kawalan untuk menanduk tendangan sudut Alexis Mac Allister.
“Reaksi yang ditunjukkan hari ini adalah luar biasa dan sesuatu yang kami perlukan untuk baki musim ini,” kata Van Dijk. “Hari ini adalah sangat besar!”
Mac Allister sekali lagi mengumpan bola ketika Luton gagal menangani gerakan dari bola mati.
Conor Bradley melakukan balingan ke dalam kepada Mac Allister dan hantaran lintangnya disempurnakan Gakpo untuk gol pendahuluan Liverpool.
Hanya ketangkasan penjaga gol Luton, Thomas Kaminski menafikan dua lagi cubaan Gakpo dan Van Dijk ketika Liverpool terus bersemangat.
Dan Klopp kelihatan boleh bertenang 19 minit sebelum tamat permainan apabila Diaz menjaringkan gol peribadi ke-10 musim ini untuk gol ketiga Liverpool.
Elliott kemudian melengkapkan jaringan pada penampilan ke-100 bersama Liverpool.
Kekalahan meletakkan Luton masih dalam zon penyingkiran dengan perbezaan gol.