Permainan Upin & Ipin menerusi konsol permainan dilancar Sept
Selepas 19 tahun membina populariti siri animasi Upin & Ipin, syarikat produksi animasi tempatan Les’ Copaque Productions Sdn Bhd bakal melancarkan permainan Upin & Ipin menerusi konsol permainan video pada September nanti.
Pengarah Urusan Les’ Copaque Productions Sdn Bhd Burhanuddin Md Radzi berkata permainan berbayar itu yang dibangunkan sejak tahun lepas, akan dilancarkan menerusi beberapa peranti konsol permainan yang akan diumumkan kelak.
Beliau berkata syarikatnya membelanjakan RM15 juta bagi permainan berkenaan, yang dibangunkan sebuah syarikat antarabangsa berpangkalan di negara ini.
“Selain Malaysia, sasaran kita sudah tentu di Indonesia yang memiliki penggemar ramai siri animasi ini. Ia merupakan satu lagi kejayaan syarikat kita menerusi Upin & Ipin,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, beliau berkata siri animasi berkenaan terus mendapat tempat di Indonesia apabila tempoh tayangan lima jam sehari menerusi saluran MNCTV di negara berkenaan ditambah kepada sembilan jam sehari ketika ini.
Perkara itu, katanya merupakan satu lagi kejayaan kepada syarikat yang ditubuhkan pada 2005 dan sehingga kini sudah berjaya meraih pelbagai anugerah menerusi siri Upin & Ipin yang diterbitkan pada 2007.
Burhanuddin berkata setiap tahun sebanyak 42 siri animasi baharu Upin & Ipin ditayangkan di negara berkenaan dan syarikatnya mendapat keuntungan menerusi iklan yang disiarkan dalam tempoh siaran berkenaan.
Dalam pada itu, beliau yakin pembinaan Taman Tema Upin Ipin di Alor Gajah, Melaka, sekiranya direalisasikan kelak mampu menarik kedatangan pelancong dalam dan luar negara pada masa depan, terutama dari Indonesia.