MPS lancar inisiatif baharu perangkap nyamuk untuk cegah penularan denggi
SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) melancarkan inisiatif pencegahan nyamuk baharu dengan memasang 110 unit stesen Perangkap Penyebaran Auto (ADT) di sekitar Pasar Sentral Sibu.
Pengerusinya Clarence Ting berkata, langkah itu sebagai tindakan proaktif mengurangkan risiko penularan penyakit denggi dalam kalangan penduduk tempatan khususnya di daerah ini.
Katanya, inisiatif itu adalah kerjasama dengan Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meningkatkan kebersihan dan keselamatan awam di kawasan pasar yang kerap menjadi titik fokus pembiakan nyamuk aedes dan Pasar Sentral Sibu dipilih sebagai lokasi percubaan.
“Kami mengambil inisiatif ini dengan memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Penyakit denggi adalah ancaman serius dan kami komited melakukan segala yang perlu untuk melindungi orang ramai daripada risiko tersebut.
“MPS membeli sebanyak 110 unit perangkap itu yang terbukti usaha sangat berkesan di Semenanjung Malaysia.
“Perangkap ini ditempatkan di seluruh kawasan Pasar Sentral, manakala KKM membantu dalam pengambilan rekod hasil daripada inisiatif ini.
“Jika keberkesanan terbukti, MPS berhasrat meluaskan penempatan perangkap nyamuk ini ke pasar-pasar lain di Sibu selepas April depan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program pemasangan perangkap nyamuk di Pasar Sentral Sibu, semalam.
Ting turut berkongsi laporan terkini daripada KKM yang menunjukkan terdapat peningkatan kes demam denggi di Bahagian Sibu pada minggu epidemiologi ke-8 tahun ini dengan sejumlah 15 kes, iaitu kenaikan 88 peratus berbanding lapan kes pada tahun sebelumnya.