‘Kill switch’ diwujud bagi tangani kes penipuan dalam talian: Azalina
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengambil langkah mewujudkan satu sistem perundangan yang mampu bertindak sebagai ‘kill switch’ kepada aktiviti penipuan dalam domain atau platform dalam talian secara automatik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (UndangUndang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Kerajaan MADANI juga sedang merangka satu akta baharu yang merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan kill switch berkenaan untuk meningkatkan tahap keselamatan digital secara terperinci dan jelas.
“Ini kerana kebanyakan undang-undang (berkaitan keselamatan siber dan jenayah dalam talian) dirangka sebelum 2010. Sebab itu undang-undang perlu dipinda bukan sahaja dari segi substansif, tetapi juga dari segi prosedur supaya kita dapat membantu kerajaan menghadapi isu yang berlaku pada hari ini,” katanya pada
sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin tahu usaha kerajaan bagi mengatasi masalah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.
Azalina berkata penelitian juga sedang dilaksanakan terhadap beberapa peruntukan undang-undang
lain seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) bagi membolehkan wang penipuan dikembalikan kepada mangsa.
Menurut
Azalina
Jawatankuasa Kerja Cadangan Penggubalan UndangUndang Baharu Berkaitan Dengan Kemudaratan Jenayah Dalam Talian telah mengadakan mesyuarat pertama pada 5 Februari lepas dan dipengerusikan secara bersama oleh beliau, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta Menteri Digital Gobind Singh Deo. — Bernama