Kelab Hoki Sejati Sibu pasang misi hidupkan kembali sukan hoki di Sibu
SIBU: Kelab Hoki Sejati Sibu, sedang mengejar misi menghidupkan semula sukan hoki di wilayah ini dengan merancang untuk memperoleh padang futsal di Kampung Bharu di sini.
Presidennya, Noorzahar Abdul Kadir, menjelaskan dengan memiliki gelanggang latihan, ia menjadi langkah penting dalam menangani penurunan taraf hoki di Sibu selama beberapa tahun terakhir.
Dalam satu majlis makan malam perjumpaan bekas pemain hoki, beliau berkongsi rancangan kelab untuk memperbaiki keadaan pembangunan hoki di sini.
“Kekurangan tempat lati- han adalah antara cabaran utama yang perlu diatasi. Setelah kami memperolehi tempat yang sesuai, kami yakin pembangunan hoki di sini akan dapat dihidupkan kembali,” kata Noorzahar kepada pemberita.
Beliau turut mengimbau bahawa Sibu pernah menjadi kuasa besar dalam sukan hoki pada tahun 80-an dan 90-an.
Namun, sejak tahun 2000,
pembangunan sukan hoki di sini merosot dan sebahagiannya disebabkan oleh kekurangan tempat latihan serta kurang minat.
Kelab Hoki Sejati yang didaftarkan pada 2016 kini sedang mengkaji lebih mendalam kemerosotan tersebut dan menganjurkan beberapa kejohanan sebagai langkah awal.
Namun, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sehingga memaksa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan pengurangan aktiviti sukan.
“Justeru, kita berharap apabila kita mampu menguasai bidang hoki, lebih banyak usaha dapat dicurahkan untuk menggalakkan pembangunan
hoki di kalangan akar umbi,” tambah Noorzahar.
Dengan merancang mendapatkan padang futsal di Kampung Bharu, Kelab Hoki Sejati Sibu berharap dapat memberikan dorongan baharu dalam menghidupkan semula semangat dan minat terhadap sukan hoki di wilayah tengah khususnya.