Lambang identiti unik Sibu Jaya
Masjid Al-Madinah Al-Husna di Sibu Jaya tampil teknologi terkini, unsur etnik Sarawak dan kehijauan alam sekitar.
Masjid Al-Madinah Al-Husna mencerminkan identiti unik Sibu Jaya sebagai sebuah komuniti yang padu, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, pembinaan masjid baharu terbabit yang bermula Ogos 2019 menerusi kerjasama antara kerajaan negeri dan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak menunjukkan komitmen untuk memperkukuhkan keharmonian dan kekayaan budaya di Sarawak.
“Dengan kos pembinaan mencecah kira-kira RM32 juta, Masjid AlMadinah Al-Husna menampilkan gabungan teknologi terkini, unsur kebudayaan etnik Sarawak dan kehijauan alam sekitar,” ujarnya ketika merasmikan masjid tersebut, semalam.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Datuk Dr Annuar Rapa’ee, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha.
Abang Johari turut mengumumkan rancangan pembinaan masjid berkonsep teknologi baharu di Kemuyang yang akan dibina tanpa menggunakan tiang dengan pengaplikasian kaedah pembinaan terkini menggabungkan elemenelemen moden dalam reka bentuk masjid.
“Kami berhasrat membina masjid yang tidak hanya memenuhi keperluan ibadah, tetapi juga mengaplikasikan teknologi baharu untuk memastikan masjid ini menjadi mercu tanda pembangunan yang progresif,” jelasnya.
Selain itu, dalam usaha mengukuhkan infrastruktur keagamaan di Sibu, beliau mengumumkan rancangan pembinaan masjid di kawasan lain dan merancang membawa inisiatif tersebut ke peringkat daerah.
Abang Johari pada majlis sama turut memberitahu Sarawak turut mengambil langkah proaktif dalam pembangunan ekonomi dengan mengadaptasi ilmu digital dan teknologi tenaga terbaharui.
Katanya, kerajaan Sarawak tidak hanya akan memajukan ekonomi negeri, tetapi juga mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar.
Tegas beliau, pendekatan ini mencerminkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar dan keperluan untuk menjaga keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar.
“Dengan penggunaan ilmu digital dan penekanan terhadap teknologi tenaga terbaharui, ia menunjukkan kesungguhan Sarawak dalam menyumbang kepada perubahan positif dalam pelbagai bidang, daripada agama hinggalah pembangunan lestari,” katanya.