Uggah nasihatkan penduduk berpindah sekiranya kediaman dilanda banjir kilat
Penduduk diingatkan supaya berpindah dari kediaman mereka sekiranya banjir kilat berlaku di kawasan masing-masing, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) itu berkata demikian berikutan terdapat beberapa individu yang enggan meninggalkan rumah mereka.
“Apabila hujan lebat berlaku, jentera pengurusan bencana kita segera digerakkan. Apabila ada arahan berpindah, mereka (penduduk) mesti berpindah serta-merta. Kita tidak tahu tahap keterukan banjir. Kita mahu memastikan keselamatan mereka.
“Keutamaan kami ialah memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Di Kuching, ia mudah kerana ada jalan yang disediakan untuk jentera digerakkan, cuma penduduk perlu bersedia sekiranya mereka diarah berpindah,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa melawat pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di Dewan Serbaguna Taman Malihah di Matang di sini, semalam.
“Kami difahamkan apabila (penduduk) berpindah, mereka mungkin berasa sedikit tidak selesa, mungkin mereka takut untuk meninggalkan rumah mereka.
“Bagaimanapun, kami telah memaklumkan kepada polis untuk memantau rumah yang penghuninya dipindahkan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” tambahnya.
Susulan banjir kilat yang berlaku di beberapa tempat pada waktu pagi semalam, Uggah berkata semua agensi yang terlibat dalam jawatankuasa pengurusan bencana bahagian dan daerah Kuching telah digerakkan.
Justeru, beliau berkata JPBNS sedang bersiap sedia untuk menubuhkan lebih banyak pusat pemindahan banjir.
“Apabila hujan lebat, pusat pemindahan banjir telah pun diwartakan, buat masa ini kita hanya perlu bersiap sedia untuk menghadapinya.
“Arahan telah diberikan awal-awal lagi bahawa pada musim tengkujuh ini kita mesti bersedia untuk menubuhkan semua pusat pemindahan dan pusat makanan.
“Makanan adalah penting kerana kita mesti memastikan mereka akan dibekalkan dengan makanan secepat mungkin.
“Sebab itu kita ada pek makanan sedia untuk dimakan, yang boleh kita gunakan segera sementara menunggu lebih banyak bekalan makanan disediakan,” katanya.