Pelajar menunggang motosikal ke sekolah perlu ada lesen: Lee
Mereka perlu memakai topi keledar demi keselamatan di jalan raya
MIRI: Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin mahu semua pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah memiliki lesen Kelas B2.
Selain itu, beliau juga mahu mereka memakai topi keledar demi keselamatan ketika berada di jalan raya.
“Saya mahu pelajar ada lesen, pergi balik sekolah dengan selamat, itu yang saya mahu,” ujarnya.
Bercakap kepada seramai 503 peserta Bantuan Lesen Memandu (BLM) MyLesen Kelas B2 di sini semalam, Lee berkata sasaran untuk pelajar mengikuti program itu adalah seramai 1,000 orang.
Mereka merupakan kumpulan pertama untuk program terbabit dan akan turut dikendalikan untuk kumpulan kedua.
Menurut Lee, beliau dimaklumkan oleh guru bahawa ramai pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah tidak memiliki lesen dan tidak memakai topi keledar.
Oleh itu katanya, beliau telah meminta kerjasama dari pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melibatkan pelajar dalam program tersebut.
“Kita tanya guru, berapa ada lesen, ramai tidak memiliki lesen serta memakai topi keledar. Masalahnya, bagaimana membantu pelajar mendapat lesen. Kita mahu mereka ada lesen, mengikut undang-undang dan memandu dengan selamat,” jelas Lee.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, peserta hanya perlu membayar sebanyak RM250 berbanding RM750 untuk bayaran kursus dan peperiksaan di sekolah memandu.
Setelah diumumkan, JPJ menerima penyertaan daripada seramai 672 peserta tetapi hanya 609 yang layak.
Bagaimanapun, program yang diadakan di Dewan Dato Permaisuri di Bandar Baru Permyjaya itu hanya
dihadiri 503 peserta termasuk ‘walk-in.’
Pelajar adalah dari SMK Pujut, SMK Baru, SMK Lutong, SMK Riam, SMK St Joseph, SMK St Columba, SMK Chung Hua, SMK Luak, SMK Dato Permaisuri, Kolej Vokasional, Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, SMK Taman Tunku, SMK Merbau dan SMK Lopeng Tengah.
Kursus dikendalikan Institut Memandu Miri Subis Sdn Bhd dan Institut Memandu City Miri Sdn Bhd.
Lee berkata, program akan diteruskan ke kampungkampung di sini.
“Saya mahu pelajar ada lesen, pergi balik sekolah dengan selamat, ” itu yang saya mahu.